Nasionalisme vaksin 'satu kesilapan', kata Ketua PBB
NEW YORK - Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres percaya nasionalisme vaksin adalah satu kesilapan besar dan pengeluaran vaksin global bagi memerangi jangkitan Covid-19 perlu digandakan.
"Beberapa negara memberi vaksin kepada penduduk mereka dengan sangat cepat, tetapi masih ada sejumlah negara langsung tidak menerima walaupun dos pertama, berbanding di negara maju, secara umum, kita melihat jurang yang jelas apabila berkaitan dengan vaksinasi.
"Jadi, nasionalisme vaksin adalah kesilapan besar. Bagi saya ia jelas bahawa pengeluaran vaksin dunia harus digandakan untuk memenuhi semua keperluan, dan untuk itu kita memerlukan kerjasama daripada pelbagai negara yang memiliki kemampuan menghasilkan vaksin," lapor Sputnik memetik Guterres dalam temubual dengan agensi berita Rusia.
Guterres menyuarakan harapannya agar semua pengeluar besar vaksin dapat bergabung dalam usaha mewujudkan rancangan vaksinasi global yang akan menjangkau semua, di mana sahaja.
Setiausaha Agung juga menyatakan PBB telah menyokong kemudahan COVAX yang bertujuan mengagihkan vaksin Covid-19 secara adil ke negara-negara membangun.
Namun, kata Guterres, kemudahan COVAX tidak hanya kekurangan dana AS$22 bilion tetapi kini menghadapi masalah bekalan berikutan sekatan eksport yang dikenakan oleh beberapa negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!