Bukan salah Shukor
TONGGAK KL City FC, Shukor Adan tidak harus dipersalahkan sepenuhnya susulan jaringannya yang mencetuskan kontroversi ketika aksi Liga Super menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard berkata, keputusan mengesahkan jaringan Shukor yang didakwa menggunakan tangan itu merupakan kesilapan besar dilakukan pengadil perlawanan, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim.
“Bagi saya, Shukor melakukan tugasnya sama seperti pemain lain untuk mencari gol dan mendapatkan keputusan yang baik untuk pasukan. Itu sememangnya tugas seorang pemain.
“Dalam keadaan spontan untuk mencari gol dengan keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan, mungkin Shukor tidak sengaja mengangkat tangan dan kebetulan bola itu masuk ke gawang gol UiTM FC.
“Jika pengadil membuat keputusan tepat dengan membatalkan gol tersebut dan memberikan kad kuning contohnya, saya rasa Shukor sendiri tiada masalah untuk menerima keputusan itu.
“Bagi saya, pengadil berkenaan (Mohd Shahrizan) tidak mempunyai kualiti yang cukup untuk berada dalam Liga Super,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Stanley turut memberikan contoh kesilapan yang dilakukan Mohd Shahrizan pada aksi tersebut termasuklah ketika memberikan sepakan penalti kepada UiTM FC.
“Kami juga mempertikaikan penalti yang diberikan kepada UiTM sedangkan jelas pemain mereka, Kwon Yong-hyun dilihat sengaja menjatuhkan badannya.
“Pengadil sama juga memberikan penalti ketika kami menentang Melaka United (di Stadium Hang Jebat pada 20 Mac lalu) sedangkan pemain Melaka United (Alex dos Santos Goncalves) ketika itu turut merebahkan badan.
“Jika diambil kira, apa beza situasi menjatuhkan badan dengan gol tangan Shukor kerana jelas kedua-dua pemain Melaka United dan UiTM FC itu menipu dengan sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan penalti.
“Memang saya tidak setuju gol Shukor dibenarkan, tetapi penalti yang diberikan kepada Melaka United dan UiTM FC itu juga tidak patut. Ini merupakan satu contoh keputusan yang kurang tepat oleh pengadil,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!