Hina Nabi: PDRM digesa ambil tindakan segera
IPOH - Pemuda Amanah membuat satu laporan polis terhadap seorang pemilik Facebook berikutan tindakannya menghina Nabi Muhammad SAW melalui satu karikatur yang disifatkan keterlaluan.
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, pihak berkuasa digesa segera mengambil tindakan agar ia menjadi pengajaran kepada individu yang menyentuh sensitiviti agama.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Rakyat perlu mengamalkan cara hidup harmoni dan mengekalkan semangat perpaduan.
"Kami amat berdukacita dengan kejadian ini dan diharapkan pihak berkuasa dapat menanganinya supaya perkara seperti ini tidak berlaku pada mana-mana agama sekalipun," katanya.
Beliau ditemui media bersama Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Shafiq menyelar tindakan pelaku tersebut yang telah melanggar sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.
"Tindakan tersebut adalah melampau dan keterlaluan. Kebiadaban individu tersebut mampu menggugat keharmonian negara.
"Laporan polis ini dibuat agar PDRM dapat menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!