Aidilfitri hilang seri tanpa lagu raya
“Dam dam dum bunyi mercun
Kanak-kanak segera datang
berduyun...
Dam dam dum mercun berdentum
Semaraklah hari raya ini tahun...”
Seingat saya, itulah lagu raya pertama yang saya hafal. Rangkap itu sahaja. Yang lain-lain tidak ingat. Saya tidak pasti berapa umur saya pada masa itu.
Tetapi saya sudah pandai hentak-hentak kaki jika emak tak bagi duit untuk beli bunga api.
Sebelum masuk Darjah Satu saya sudah hafal lagu-lagu raya nyanyian P Ramlee, Saloma, Fazidah Joned, Ahmad Jais, Sanisah Huri dan banyak lagi.
Ketika Darjah Empat saya sudah pandai menyanyi secara duet lagu Seloka Hari Raya dendangan Uji Rashid dan Hail Amir. Pasangan duet saya ialah diri sendiri.
Sayalah Uji, sayalah Hail. Tetapi selalunya saya menyanyi dalam hati saya. Itu pun ketika jauh dari orang.
Begitulah besarnya pengaruh lagu-lagu raya. Ia bukan sahaja terbatas pada zaman kanak-kanak saya, malah lama sebelum itu.
Dan ia terus segar menjadi sebahagian daripada menu ‘wajib’ dalam sambutan hari raya Aidilfitri sehinggalah sekarang.
Tanpa lagu raya, Aidilfitri seolah-olah hilang serinya.mBukan hanya budak-budak dan golongan muda yang meminati lagu raya.
Suatu masa, lama dahulu, ketika sedang menunggu bas untuk balik ke kampung di hentian pekan Kajang pada suatu hari menjelang akhir Ramadan, saya duduk di sebelah seorang lelaki tua bertongkat dan terketar-ketar yang umurnya saya anggarkan 15 tahun lebih tua daripada Stadium Merdeka.
Mulutnya terkumat-kamit. Pada mulanya saya sangka dia membaca doa, atau jampi serapah. Tetapi apabila diperhati gerak bibirnya, tahulah saya yang dia sedang menyanyi lagu, Cahaya Aidilfitri dendangan Black Dog Bone.
Lagu raya yang pertama dipercayai dirakamkan pada tahun 1936 oleh seorang penyanyi bernama Miss Aminah.
Lagunya bertajuk Selamat Hari Raya ciptaan Tengku Alibasha dan Che Ara Bangsawan.
Dua hari lepas, saya mendengar di YouTube lagu itu didendangkan semula oleh Kumpulan Kopratasa.
Lirik lagu ini ‘lurus bendul’, straight to the point, kata orang putih. Antaranya:
“Selamat hari raya, sayalah ucapkan
kepada ibu bapa saudara sekalian,
Kaumlah kerabat hai handai dan
taulan, tualah dan muda laki-laki perempuan,
Permulaan syawal, hari yang muli
Aidilfitri,
Penutup bulan puasa pintu terbuka
untuk menebuskan dosa,
Paling utama bagi sesama manusia...” Tidak ada catatan menunjukkan ada lagu raya lain sebelum itu.
Ini bermakna sebelum tahun 1936 umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri tanpa lagu raya agaknya.
Mungkin susah bagi kita hendak membayangkan suasana menjelang 1 Syawal pada masa itu sebab bagi kita lagu-lagu raya adalah cerminan pada kedatangan tarikh yang dinanti-nantikan itu.
Untuk suatu tempoh selepas tahun 1936, lagu raya masih tidak menjadi ikutan. Mungkin pada masa itu alat untuk mendengarnya terbatas.
Radio belum ada pada masa itu. Satu-satunya alat untuk memainkan piring hitam yang utama ialah phonograph atau gramophone.
Tetapi berapa kerat sangatlah orang yang mampu memilikinya.
Lagu-lagu raya mula mendapat nafas baharu pada zaman P Ramlee iaitu pada tahun 1950-an.
Dengan adanya siaran radio, lagu-lagu ciptaan Seniman Agung itu, sama ada yang dinyanyikan oleh beliau sendiri atau isterinya, Saloma, pantas mendapat tempat di hati masyarakat. Sejak itulah lagu-lagu raya mula mewarnai kehidupan masyarakat Melayu/Islam di negara ini.
Kebiasaannya lagu-lagu raya mula berkumandang di corong radio selepas masuk minggu kedua Ramadan.
Tetapi bagi yang memiliki alat pemain piring hitam atau alat pemain kaset sendiri, mereka boleh mainkan lagu raya pada bila-bila masa. Yang betul-betul ‘gian’ hendak beraya mungkin memainkannya sejak dari bulan Syaaban lagi.
Menariknya tentang lagu-lagu raya ini adalah melodi dan liriknya yang benar-benar boleh menghidupkan mood Aidilfitri. Dengar sahaja kita sudah tahu ia lagu raya. Dan ia tidak semestinya ceria. Ada juga melodi dan lirik yang sedih, hiba, sayu mendayu-dayu seperti Dendang Perantau dendangan P.Ramlee dan Musafir Di Aidilfitri nyanyian S. Jibeng.
Mendengar lagu-lagu itu, boleh menyebabkan air mata menitis tanpa disedari. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak dapat beraya bersama keluarga sendiri.
Ini termasuklah terpaksa beraya di kampung mentua atau mereka yang kena masuk lokap pada malam raya!
Suasana
Boleh dikatakan semua lagu raya sedap di telinga. Menjelang minggu terakhir Ramadan, lagu raya akan semakin galak dimainkan. Ia boleh didengar di mana-mana sahaja, corong radio, televisyen, dalam bas, dalam teksi, di kompleks membeli-belah, pasar malam, pasar pagi, malah pasar basah dan gerai jual durian.
Pendek kata pusing ke mana pun semuanya lagu raya. Kalau ada lagu-lagu lain sekalipun, ia sekadar di selit untuk dijadikan salingan.
Jika anda berniaga baju raya misalnya, cubalah pasang lagi Celine Dion, Rihanna, Coldplay, Taeyeon, Jungkook, Neha Kakkar atau Sonu Nigam sepanjang masa. Dijamin baju-baju itu anda kena pakai sendiri.
Ya, lagu-lagu raya tidak hanya merangsang mood hendak beraya tetapi juga mood untuk membuat persiapan menyambutnya.
Indah rasanya suasana membeli belah dengan diiringi lagu-lagu Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) atau Pulanglah (Aishah) atau Satu Hari Di Hari Raya (M. Nasir). Untuk kanak-kanak lagu Suasana Hari Raya (Anuar & Ellina) adalah lagu yang wajib dihafal menjelang saat hari raya.
Kita terus menikmati semua ini tanpa diusik oleh apa pun. Lagu-lagu raya lama menjadi malar segar yang menghidupkan nostalgia, manakala lagu-lagu raya baharu terus muncul untuk menumpang ruang.
Tetapi tiba-tiba, tanpa dijangka hatta oleh bomoh yang paling handal sekalipun, keadaan berubah.
Mulai tahun lepas cara kita meraikan Aidilfitri tidak sama lagi dengan dahulu. Kita dikawal oleh normal baharu. Tidak boleh boleh merentas negeri dan daerah.
Tidak boleh menerima tamu melebihi had. Kena pakai penutup muka. Kena jaga jarak. Semuanya serba tak kena kerana covid 19.
Keceriaan melodi dan liriknya dianggap menambah duka. Ia juga tidak memberi apa-apa makna lagi sebab bait-bait liriknya semakin tidak selari dengan realiti semasa.
Contohnya lagu Balik Kampung (Sudirman) sesuatu yang melukakan telinga dalam suasana Hari Raya PKP.
Apatah lagi korus lagu Suasana Hari Raya (Junainah M. Amin) yang berikut ini:
“Kalau sudah makan jalan ramai-ramai
Bersama kawanmu semua
Bersalam-salaman bermaaf-maafan
Di hari bahagia ini...”
Dalam rangkap itu sahaja ada dua perkara yang boleh menyebabkan kita kena kompaun iaitu: ‘jalan ramai-ramai’ dan ‘bersalam-salaman’. Kedua-duanya melanggar SOP.
Kita sangka episod duka menyambut raya itu akan berakhir dengan berlalunya tahun 2020. Rupa-rupanya tidak. Ia berterusan sehingga ke tahun ini.
Malah berdasarkan pengamatan saya, nasib lagu raya lebih buruk berbanding tahun lepas. Ia langsung menghilang dari tempat-tempat di mana ia sepatutnya dipasang.
Tahun lepas boleh juga didengar sekali-sekala. Ada juga deejay melepaskan ‘gian’ memainkannya.
Tetapi tahun ini, setakat yang saya perasan, deejay tidak berani putarkan lagu-lagu itu sebab takut dimarahi netizen, yang masing-masing meroyan sebab sekali lagi tidak boleh beraya di kampung.
Mereka termasuklah saya. #dush!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!