Jalan pulang ke kampung sebenar
MULAI hari ini hingga 7 Jun, kita mengharungi semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga faktor yang menyebabkan kerajaan mengambil keputusan ini iaitu kerana kewujudan varian-varian baharu virus dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sebahagian masyarakat.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sidang khas mereka mencadangkan PKP di seluruh negara ini bagi mengelakkan kita semua terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan lebih parah.
Apabila angka yang disahkan dijangkiti Covid-19 di negara kita pernah melangkaui 4,000 kes, ia adalah petanda buruk bahawa ia boleh meningkat lebih tinggi. Malapetaka yang dialami di negara India seperti yang kita tahu, boleh terjadi di negara kita.
Justeru, ia bukan cerita di negara orang, akan kena pada orang lain di negeri lain, di bandar lain dan di kampung lain. Sebaliknya ia boleh terjadi di rumah sebelah, malah di rumah sendiri mahupun terhadap diri sendiri.
Buat mereka yang masih belum mengalami, kita perlu ambil iktibar bahawa tanpa disedari, kita sendiri boleh dijangkiti.
Tanyalah mereka yang pernah dijangkiti. Mereka tak sangka mereka boleh terkena.
Justeru, tidak mengapalah apabila kita tinggal umpama dalam bubble besar daerah masing-masing apabila tidak boleh merentas kawasan tanpa sebab-sebab yang telah disyaratkan. Bersabarlah untuk tidak pulang ke kampung buat sekali lagi.
Tidak perlulah untuk cari jalan tikus, jalan kampung, hatta jalan bendang untuk balik. Silap-silap, kita bukannya pulang untuk mengeratkan silaturahim, sebaliknya menyebarkan penyakit pula.
Aidilfitri ialah hari kita menyambut kemenangan setelah sebulan berpuasa. Ia sebenarnya adalah perayaan agama. Ia bukan perayaan bertunjangkan adat dan tradisi iaitu dengan pulang ke kampung.
Pulang ke kampung pada asalnya adalah hari kelepasan am di seluruh negara dan ramai yang merantau ke kota ambil peluang balik untuk mengalami nostalgia beraya.
Cara
Jika tidak boleh pulang, kita ada pelbagai cara untuk melihat suasana kampung melalui video yang tular, melalui panggilan video, malah sidang video di pagi raya. Walaupun hati tidak sepuas bila dapat balik ke kampung, ia cukup sebagai ubat penenang.
Pujuklah minda kita untuk menerima norma baharu ini. Minda kita perlu kuat melawan hawa nafsu menentang ulul amri meskipun, maaf cakap... dengan cara menaikkan status yang meroyan.
Yang sepatut kita ambil peduli ialah generasi kita semakin kurang berpeluang untuk mengamalkan agama dalam kehidupan mereka.
Setelah berbulan mereka yang tidak dapat berjemaah di masjid, apakah kita ajak berjemaah pula di rumah?
Setelah bertahun mereka tidak dapat melakukan amalan khatam al-Quran, berkenduri dan doa selamat, apakah kita teruskan amalan itu di kalangan keluarga?
Sudah berbulan-bulan anak-anak kita tidak dapat hidup dalam bi’ah Islami. Mereka tidak dapat ke surau atau ke masjid sehingga ia menjadi rumah kedua mereka.
Sebaliknya mereka kini hanya duduk di rumah dan hanya keluar ke kawasan sekitar.
Andainya kita tidak dapat teruskan amalan berjemaah, berusrah dan bertaklim di rumah, di mana lagi mereka ingin memperoleh bekal akhirat?
Kita sendiri yang terpaksa lebih banyak duduk di rumah harus ambil peluang rehat kali kedua setelah PKP 1.0 pada tahun lalu untuk menyediakan bekalan akhirat untuk anak-anak.
Sekiranya kita kerap ingatkan anak-anak tentang matlamat hidup iaitu belajar rajin-rajin untuk lulus periksa, belajar hingga ke universiti supaya dapat kerja yang baik, kita kena lanjutkan ingatan kita hakikat jalan akhir yang akan mereka tujui iaitu ke syurga.
Mari kita ajak dan ajar mereka pulang ke kampung yang sebenar.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!