Aroma luar biasa Rojak Kateh Madu Dapur Arang
Biarpun terpaksa berdepan dengan keperitan asap selama lima hingga enam jam sehari ketika proses membakar, ia tidak mematahkan semangat Syed Afindi Syed Mansor, 39 untuk terus berusaha mengkomersialkan dan mengekalkan kaedah pembuatan makanan itu secara tradisional.
Bermula dengan hanya memasak rojak kateh bagi memenuhi keinginan anaknya, ketika tempoh Perintah Kawalan Prgerakan (PKP) tahun lalu, Syed Afindi yang kini dibantu dua pekerja serta isterinya, Sharifah Shuhaida Tuan Chik, 38, mampu menghasilkan sehingga 600 bungkus rojak kateh bagi tempoh tiga hari sepanjang Ramadan.
Katanya, Aidilfitri kali ini dia turut menerima tempahan juadah itu untuk dijadikan pembuka selera bagi mereka yang gemarkan rasa masam, pedas dan manis.
"Kita ada menerima tempahan rojak kateh sempena Aidilfitri namun saya tidak dapat berjanji kerana bahan asas untuk menghasilkan rojak kateh tidak boleh disimpan lama bagi mengekalkan kesegarannya.
"Lagipun proses pembuatannya agak panjang. Jadi, untuk Aidilfitri ini kita hadkan kepada lima hingga enam pelanggan serta kepada mereka yang telah menempah lebih awal," katanya.
Menurut Syed Afindi, proses membakar dan merebus rojak kateh mengambil masa lima hingga enam jam bergantung kepada kuantiti bahan yang diperoleh.
Katanya, proses paling sukar untuk menghasilkan rojak kateh ialah proses mencari bahan bakar iaitu kayu api kerana kayu terbaik untuk membakar ialah kayu leban dan rambutan kerana ia menghasikkan bau yang lebih wangi sekali gus menambah kelazatan pada rojak kateh.
"Untuk mendapatkan kayu-kayu ini kita terpaksa pergi ke merata tempat kerana kayu yang sesuai agak sukar diperoleh.
"Sebolehnya saya mengelak menggunakan kayu getah kerana baunya lebih tengik dan tidak sesuai digunakan bagi membakar kaki lembu atau kerbau kerana akan mempengaruhi rasa pada rojak kateh," katanya.
Dalam pada itu, katanya, proses menghasilkan rojak kateh agak rumit kerana ia perlu direbus sehingga empuk sebelum perlu dihiris kecil-kecil bahagian kaki haiwan tersebut yang telah dipanggang.
Menurutnya, sebanyak 600 bungkus rojak kateh dapat dihasilkan dalam tempoh tiga hari bergantung kepada kuantiti barang (kaki lembu) yang diperoleh.
"Mula-mula kaki lembu akan dibakar terlebih dahulu sebelum direndam dan dibasuh seterusnya direbus. Selepas rebus, kita akan masukkan ke dalam peti sejuk supaya dagingnya menjadi pejal sebelum dikeluarkan untuk dipotong menjadi saiz kuib.
"Selepas dipotong kita akan masukkan ke dalam peti ais sekali lagi bagi tempoh semalaman untuk proses membuang lemak, selepas itu barulah kita akan rebus untuk memastikan bahagian yang diambil daripada kaki lembu itu benar-benar masak, lembut dan rangup sebelum diadun bersama air lada,"katanya.
Syed Afindi berkata, setakat ini dia tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan kaki lembu kerana bahan itu kebanyakannya diperoleh dan dibeli daripada rakan-rakannya yang menjual daging lembu.
Katanya, sebanyak 200 bungkus rojak kateh yang setiap satunya dijual pada harga RM5 akan disediakan untuk dijual dirumahnya manakala selebihnya akan diagihkan di kedai-kedai makan yang telah menempah juadah tersebut.
Menurutnya, selain pasaran dalam Terengganu, rojak kateh yang dihasilkannya kini mempunyai pelanggan dari luar iaitu di Putrajaya dan Shah Alam yang akan menerima rojak kateh melalui khidmat penghantaran.
Syed Afindi memasarkan rojak kateh yang dihasilkan melalui laman sosial Facebook miliknya, Syedafindi Syed.
"Ramai yang sebelum ini tidak tahu apa itu rojak kateh telah terpikat dengan rasanya yang unik.
"Ditambah pula dengan keharuman aroma asap bahan bakar yang membangkitkan lagi keenakannya menjadikan ia sebagai pembuka selera ketika bersahur atau berbuka puasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!