132 rakyat Malaysia dari India selamat tiba
PUTRAJAYA - Seramai 132 rakyat Malaysia dari India selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 1 pagi tadi.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataannya berkata, jumlah itu melibatkan seramai 117 orang rakyat Malaysia dan enam tanggungannya serta seorang pemegang status penduduk tetap.
"Misi repatriasi yang membawa pulang rakyat Malaysia dari New Delhi dan Mumbai dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas, Malindo Air," katanya pada Rabu.
Menurutnya, mengambil kira hubungan erat dan istimewa yang sedia terjalin antara Malaysia dengan Brunei, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan untuk membawa pulang lapan warga Brunei dalam misi tersebut.
Kesemua penumpang, kru dan pegawai-pegawai barisan hadapan yang terlibat dalam misi itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Antaranya, kesemua yang terlibat perlu mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif dalam tempoh tidak lebih daripada 72 jam sebelum pelepasan.
"Ketibaan penerbangan repatriasi tersebut secara berasingan di Unit Kecemasan Udara (ADU) dan perlu melalui pemeriksaan dan tapisan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
KLN berkata, mereka turut diarah menjalani perintah kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan.
"KKM akan membuat pemantauan secara berterusan terhadap semua penumpang, kru dan pegawai terlibat sehingga tamat tempoh kuarantin," katanya.
Kejayaan misi tersebut hasil kerjasama erat melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
"KLN mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi ini.
"Kementerian akan terus memantau situasi pandemik Covid-19 di India dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara," katanya.
Terdahulu kerajaan melancarkan misi repatriasi itu selepas fasiliti kesihatan di India berada pada tahap kritikal.
Negara pengeluar terbesar vaksin itu sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 selepas pilihanraya diadakan pada penghujung April.
Selain itu, salah satu festival keagamaan terbesar di dunia, Kumbh Mela tetap diadakan antara Januari dan April dengan disertai kira-kira 25 juta penganut Hindu yang kebanyakannya tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
Setakat 10 Mei, India merekodkan 23 juta kes positif Covid-19 dengan 250,000 kematian.
Varian baharu India B.1.617 yang dikesan di negara berkenaan merupakan antara faktor penularan Covid-19 yang tinggi dan pantas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!