Janganlah marah, lebih baik kekal 'bersatu'

Keadaan semasa di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang lengang selepas kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri. - Foto Bernama
Keadaan semasa di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang lengang selepas kerajaan tidak membenarkan orang ramai pulang ke kampung menyambut perayaan Aidilfitri. - Foto Bernama
A
A
A

HARI ini, Rabu bersamaan dengan 30 Ramadan 1442 Hijrah, sekali gus menandakan hari terakhir bulan penuh kemuliaan ini selepas sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa dan bakal menyambut perayaan Aidilfitri pada esok, Khamis.

Hari kemenangan yang tradisinya diraikan bersama keluarga dan sanak saudara di kampung dengan penuh meriah nampaknya sekali lagi menjadi kenangan dan kerinduan sepertimana tahun lepas.

Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas (10 Mei) bahawa Malaysia sekali lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini hingga 7 Jun bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang kian meningkat, menandakan Aidilfitri kali ini juga perlu diraikan dengan ‘kebiasaan baharu’.

Kes harian Covid-19 yang masih tinggi, sekitar 4,000 kes dengan 38,499 kes aktif dan 1,722 kes kematian dilaporkan setakat 11 Mei 2021 menyebabkan larangan merentas negeri dan daerah dilaksanakan dan kali ini lebih getir apabila aktiviti ziarah raya dari rumah ke rumah turut tidak dibenarkan.

Kebimbangan berlakunya ‘kluster raya’ di samping kewujudan varian baharu Covid-19 yang disifatkan lebih ganas dengan kadar jangkitan lebih tinggi menjadi penyebab ‘keputusan berat, tegas dan tidak popular’ terpaksa diambil oleh kerajaan.

Hakikatnya, Malaysia kini sedang berhadapan dengan kesinambungan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

Apa tidaknya, jika sebelum ini golongan warga emas mahupun mereka yang mempunyai rekod penyakit kritikal ataupun penyakit tidak berjangkit (NCD) lebih berisiko sekiranya dijangkiti Covid-19 namun, melalui varian baharu ini, golongan muda yang dijangkiti Covid-19 turut mendapat gejala lebih teruk sehingga menyebabkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata sejak awal tahun ini hingga 7 Mei, jangkitan Covid-19 tertinggi melibatkan mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun iaitu 1,531 kes manakala bagi 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 1,452 kes.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham. - Foto Bernama

"Ini adalah usia bekerja. Pakar-pakar di Hospital Sungai Buloh mengesahkan jangkitan varian baharu adalah daripada usia muda yang menyaksikan ada kes yang tidak terkesan dengan rawatan yang diberikan contohnya guna steroid juga tidak berkesan,” katanya.

Keadaan ini pastinya sangat membimbangkan dan tidak mustahil kes harian Covid-19 boleh melebihi 5,000 sehari menjelang akhir Mei sepertimana jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini sekiranya kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diambil remeh masyarakat akibat kelesuan pandemik, degil atau sebagainya.

Walhal, dalam memerangi wabak ini, semua pihak memainkan peranan sangat penting untuk bersama-sama bersatu memeranginya dan sentiasa diingatkan tentang keperluan mengelakkan 3s iaitu (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat) dan amalkan 3W: (Wash, Wear dan Warn).

Untuk memastikan keberkesanannya, semua ini memerlukan ‘kesatuan masyarakat’ dan bukannya bersandar pada bahu pihak KKM, kerajaan mahupun pihak berkuasa sahaja kerana tanpa adanya pembabitan masyarakat pastinya mustahil untuk negara melandaikan kembali keluk pandemik ini.

Kerana itu, amat penting untuk rakyat memahami, sedar dan bangkit bersama bagi memutuskan rantaian wabak ini dan saat ini bukanlah masanya untuk menuding jari mencari salah siapa yang menjadi punca sehingga kes melonjak tinggi.

Suasana sunyi di sekitar tempat tumpuan warga kota yang kebiasaanya sibuk menjelang sambutan Aidilfitri. - Foto Bernama
Suasana sunyi di sekitar tempat tumpuan warga kota yang kebiasaanya sibuk menjelang sambutan Aidilfitri. - Foto Bernama

Tidak dinafikan, rakyat begitu beremosi ketika ini dan kalau menyusuri mana-mana laman media sosial pun, dapat dilihat pelbagai kata-kata yang kurang enak dilemparkan termasuk menyerang media sosial KKM sehingga ruangan komen kementerian itu terpaksa ditutup.

Mengulas mengenai isu ini, Pakar Psikologi Universiti SEGi, Kota Damansara Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata adalah lumrah untuk seseorang itu berasa marah tetapi masyarakat perlu kembali kepada rasional mengapa kerajaan terpaksa mengambil pendekatan tersebut.

"Pandangan yang saya berikan ini belum tentu boleh diterima netizen. Tetapi saya harus berani menyatakan bahawa kita perlu lihat mengapa arahan itu dibuat dan mengapa peraturan dan SOP itu tidak konsisten.

"Mereka (kerajaan) ada sebab yang mungkin kita tidak tahu dan setiap keputusan bukan sewenang-wenangnya diambil sebaliknya dibuat melalui analisis data-data yang diperoleh. Saya akui rakyat sedang marah, teruskan...kerana ia merupakan satu alternatif bagi meredakan kemarahan kita,” katanya.

Bagaimanapun, kemarahan itu janganlah sampai melupakan sifat empati terutama pengorbanan barisan hadapan negara yang sekian lama bertungkus lumus merawat dan menjaga keselamatan negara.

Hakikatnya, raya masih boleh lagi diraikan dengan teknologi yang ada dan pengalaman raya sebelum ini telah membuktikan teknologi telah membantu kita untuk mengeratkan lagi ukhwah antara keluarga. Tidak dinafikan, kesabaran itu sukar namun antara nyawa dengan keseronokan raya, apakah yang menjadi keutamaan kita?

Pastinya, kita tidak mahu keseronokan raya berakhir dengan berada di wad kerana risiko kemungkinan dijangkiti itu tetap ada sekiranya SOP diambil ringan. Bersabarlah untuk raya lebih bermakna tahun depan dan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin daripada kami. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!