Berhenti kerja jaga ibu terlantar

Zunurulhuda memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada ibunya Karimah yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu.
Zunurulhuda memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada ibunya Karimah yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Berhenti kerja demi menjaga ibu yang terlantar, itu hanya balasan kecil kasih sayang seorang anak kepada ibu yang melahirkannya.

Hanya terbaring tanpa sedar, itulah keadaan Karimah Awang, 68, selepas mengalami strok otak sejak empat tahun lalu.

Anaknya, Zunurulhuda Omar, 33, tidak pernah membayangkan ibunya akan mengalami keadaan sedemikian walaupun pernah dua kali diserang angin ahmar sebelum ini.

Menceritakan apa yang berlaku, Zunurulhuda memberitahu, ibunya terjatuh di dapur semasa hendak ke tandas dan terpaksa dipapah untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Doktor beritahu saluran darah di kepala ibu pecah dan ibu terpaksa membuang separuh daripada tempurung kepalanya. Sejak daripada pembedahan tersebut, ibu tidak lagi boleh bercakap dan hanya terbaring di katil.

"Walaupun sudah empat tahun keadaan ibu seperti itu, saya masih mengharapkan keajaiban kesembuhan ibu dan saya tidak pernah sekali pun merasa susah untuk menjaganya setiap masa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bechah, Mulong pada Rabu.

Beliau menerima kunjungan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan melalui Program Yadim Peduli: Bantuan Ramadan/ Aidilfitri yang turut mendapat kerjasama daripada CIMB Bank. Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Zunurulhuda juga memberitahu, dia turut dibantu adik bongsunya, Nurul Atikah yang juga tinggal bersama untuk menjaga ibunya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pernah menyesal berhenti kerja untuk jaga ibu. Adik saya pun tidak bekerja, masing-masing harap pada suami. Kami pun ada anak seorang, duduk di rumah ini bergilir jaga ibu. Apa yang penting, kami ada di sisi ibu.

"Walaupun sudah empat tahun tidak beraya sebagaimana orang lain, namun saya yakin ibu kuat menghadapi semua ujian ini," katanya.

Hampir 10 tahun kehilangan ayah tercinta, ia menjadikan Zunurulhuda dan Nurul Atikah lebih kuat untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga ibu mereka memandangkan adik-beradik yang lain mempunyai komitmen masing-masing.

Berbekalkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk membeli lampin pakai buang, susu dan tiub untuk ibu mereka.

"Kami enam beradik masing-masing bantu apa yang patut untuk semua keperluan ibu. Tidak pernah kami abaikan. Semoga ALLAH merahmati ibu dalam setiap apa yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!