Pamer sifat kesyukuran, bantu golongan susah: Sultan Perak

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
A
A
A

IPOH - Masyarakat di negara ini diseru untuk saling membantu golongan memerlukan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, dalam keriangan menyambut Aidilfitri semua pihak wajib diambil ingatan bahawa dunia sedang bergelut menghadapi musibah berpunca daripada virus Covid-19 dengan lebih 160 juta jangkitan telah berlaku dan lebih 3.5 juta kematian telah diratapi.

Menurut baginda, keadaan itu juga menyebabkan ekonomi dunia terjejas teruk dengan setiap hari bertambah ramai orang yang jatuh ke lembah kemiskinan.

"Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, ramai yang kehilangan ahli keluarga, ramai yang terputus sumber pendapatan, ramai yang hilang pekerjaan dan bertambah ramai yang menganggur.

"Oleh itu, dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi Ilahi daripada jangkitan penyakit dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki, pamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang dibelenggu kesusahan," titah baginda dalam Perutusan Aidilfitri 1 Syawal pada Rabu.

Sultan Nazrin bertitah, dalam keriangan menyambut Aidilfitri, rakyat perlu bersama-sama menghargai beban berat yang ditanggung oleh petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19 terutama doktor, jururawat dan kakitangan pembantu di hospital.

Sehubungan itu, baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan kepada khidmat yang mereka yang dilaksanakan secara komited.

"Sudah lebih setahun mereka bertugas tanpa mengenal rehat, menghadapi keletihan, menghadapi risiko, berusaha mahu meringankan tanggungan pesakit dengan berusaha untuk menyelamatkan sebanyak nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Demikian juga penghargaan Beta dan Raja Permaisuri kepada pelbagai pihak yang mengendalikan pelbagai khidmat untuk membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah iaitu anggota pasukan keselamatan, polis dan angkatan tentera, anggota bomba, kakitangan penjara, imigresen dan kastam; sektor pengangkutan dan sektor perkhidmatan, begitu juga kakitangan media, radio dan televisyen," titah baginda.

Baginda berharap semoga khidmat mereka diterima oleh ALLAH SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.

Baginda turut mengingatkan rakyat agar sambutan Aidilfitri dirayakan dengan normal baharu dengan mematuhi peraturan jarak fizikal yang ditetapkan, kunjungan mengunjungi antara rumah diminimumkan, perhimpunan dalam bilangan yang ramai tidak diadakan agar jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!