Lemang daun lerek dapat permintaan tinggi di Bachok
BACHOK - Percubaan seorang bekas tentera memperkenalkan lemang daun lerek berbanding lemang biasa yang beralaskan daun pisang, nyata berbaloi apabila berjaya menjual lebih 5,000 batang sepanjang Ramadan kali ini.
Pengusaha lemang daun lerek, Jeffrey Abdullah, 38, berkata, sewaktu bertugas sebagai tentera, beliau sempat belajar cara membuat juadah tersebut daripada seorang rakan sebelum mengubah suai resipi menggunakan daun pokok herba itu kerana khasiat selain aromanya yang mampu membangkitkan selera.
Katanya, sejak mula mengusahakan lemang daun lerek pada 2018, beliau yang menjual pada harga RM13 hingga RM20 sebatang tidak menang tangan memenuhi permintaan orang ramai.
"Lemang menggunakan daun pisang sebagai alas sudah biasa dilihat, saya olah semula resipi dan guna daun lerek sebagai alas. Percubaan ini berjaya apabila semakin ramai orang Kelantan yang gemar menikmati lemang daun lerek.
“Kaedah pembakaran juga berbeza, saya gunakan 12 tong dram yang boleh memuatkan sebanyak 30 hingga 35 batang lemang dalam satu-satu masa. Kaedah pembakaran ini cuma mengambil masa 30 hingga 60 minit untuk siap,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Mahligai, di sini.
Jeffrey yang pernah bertugas di Markas Empat Divisyen Bahagian Kejuruteraan di Setapak, Kuala Lumpur berkata, beliau memperoleh bekalan daun lerek dari kawasan pedalaman seperti di Jeli.
“Pelanggan suka lemang daun lerek ini kerana buluhnya tidak perlu dibelah, ia mempunyai daun bertangkai dan mudah untuk dikeluarkan untuk dihidangkan,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Nur Sabrina Zakaria, 38.
Jeffrey berkata, selain penggunaan daun lerek, pemilihan buluh juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan lemang yang enak.
“Pemilihan jenis buluh juga penting bagi membantu proses memasak, jika guna buluh lemang mengambil masa setengah jam atau sejam, sebaliknya jika guna buluh biasa, ia akan mengambil masa lebih lama,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!