LUAS pantau 24 jam sungai-sungai utama di Selangor

LUAS mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA).
LUAS mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA).
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mempergiatkan operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama untuk memastikan insiden pencemaran tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) dan seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna ketika musim perayaan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa.

Dalam kenyataan pada Rabu, LUAS memaklumkan operasi pemantauan tanpa henti itu dilaksanakan oleh Skuad Pantas LUAS di kawasan-kawasan sensitif sumber air iaitu di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan-empangan negeri bagi memastikan tiada berlaku sebarang insiden pencerobohan selain memastikan kelangsungan sumber air di Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara.

“Selain daripada pemantauan dan rondaan setiap hari, LUAS turut melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko.

“Dalam masa yang sama, pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga dilaksanakan bagi memantau status kualiti air dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.

LUAS memberitahu, pihaknya juga sentiasa bersiap siaga melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sumber-sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan off-river storage (ORS) di Bestari Jaya yang akan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah-langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden-insiden yang tidak diingini.

Setakat Selasa, LUAS telah berjaya mencegah 24 insiden pencemaran daripada menjejaskan operasi LRA (Kod Kuning - insiden yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA) dan hingga kini, tiada kes pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA (Kod Merah) direkodkan.

LUAS menyeru orang awam untuk melaporkan segera melalui talian WhatsApp +6019 264 7904 atau emel aduan@luas.gov.my sekiranya ada sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!