PGA rampas 160 gelen cecair kodien
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 160 gelen cecair kodien selepas menahan sebuah lori di hadapan Sekolah Pendidikan Khas, Pasir Mas pada awal pagi Rabu.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan pemantauan pada jam 4 pagi, anggota PGA telah ternampak sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak pantas menahan kenderaan tersebut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan menjumpai 160 gelen cecair kodien.
"Pemandu lori berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
"Kita turut merampas wang tunai pelbagai nilai berjumlah RM891 yang disyaki hasil daripada kegiatan penjualan dadah. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan RM272,891," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengambil bekalan kodien dari Puchong, Selangor menggunakan lori untuk pasaran sekitar Kelantan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!