Solat Aidilfitri secara penggiliran di Pulau Pinang

Pulau Pinang menetapkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan secara penggiliran dengan mengamalkan SOP yang ketat.
Pulau Pinang menetapkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan secara penggiliran dengan mengamalkan SOP yang ketat.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang menetapkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri diadakan secara penggiliran dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan itu adalah sebagai pilihan dan alternatif kepada pihak masjid atau surau di negeri ini.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, pihaknya membuat keputusan tersebut selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin

"Selepas perbincangan diadakan dan beberapa pandangan telah diambil kira, kita mengambil keputusan bahawa sesi solat sunat Hari Raya Aidilfitri dibenarkan diadakan secara penggiliran.

"Keputusan ini dibuat supaya lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat sunat tersebut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jelasnya, pihak masjid dan surau perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan dan mematuhi SOP yang ketat.

"Kehadiran hanya 50 orang jemaah yang dibenarkan hadir bagi masjid manakala 20 orang bagi surau mengikut SOP ditetapkan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi setiap sesi.

Artikel Berkaitan:

"Kehadiran adalah mengikut sesi yang ditetapkan iaitu sesi pertama bermula 8.30 pagi hingga 9.15 pagi, sesi kedua 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan sesi ketiga pada 11 pagi hingga 11.45 pagi.

"Sementara itu, imam ditentukan oleh pihak masjid atau surau yang mana imam perlu berlainan bagi setiap sesi solat. Perhimpunan sebelum atau selepas setiap sesi solat tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, tempoh jarak 30 minit di antara satu sesi ke satu sesi adalah untuk sanitasi tempat serta persediaan jemaah untuk masuk ke saf solat sesi berikutnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin mengesahkan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak akan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang pada 8.40 pagi, Khamis.

Beliau dijangka diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Razak Jaafar dan Ahmad Zakiyuddin sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!