Syarikat telekomunikasi tawar panggilan percuma mulai 10 malam
PUTRAJAYA - Syarikat telekomunikasi tempatan akan menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai 10 malam ini hingga 10 pagi esok iaitu pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YES.
"Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing. Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kemudahan itu diharapkan dapat membantu rakyat Malaysia untuk saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga tersayang serta rakan taulan walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjung tidak dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun depan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Saifuddin dalam pada itu turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan Covid-19.
"Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak. InsyaALLAH kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!