Berdosa jika langgar PKP: Mufti Pulau Pinang
GEORGETOWN - Rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam perlu terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin baru-baru ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, daripada perspektif hukum syarak, mematuhi PKP berserta SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan adalah wajib dan sesiapa yang melanggarnya adalah berdosa.
Menurutnya, agama Islam amat menitikberatkan kesihatan awam dan menghendaki umatnya mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah penularan penyakit supaya tidak menjangkiti lebih ramai manusia.
"Sehubungan itu kita dapati ada beberapa hadis Nabi yang melarang percampuran mereka yang mengidapi penyakit berjangkit dengan golongan yang sihat.
"Malah solat Jumaat dan solat berjemaah pun harus ditangguhkan buat sementara demi melindungi orang ramai daripada dijangkiti wabak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Dr Wan Salim berkata, selari dengan larangan ini perlu ditegaskan juga bahawa tindakan pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa dan keluarga dalam tempoh PKP adalah haram menurut hukum Islam.
Katanya, perkara ini tidak harus difahami sebagai suatu yang bercanggah dengan perintah berbuat baik terhadap ibu bapa dan menghubung silaturrahim dengan kaum keluarga serta adik beradik yang amat dituntut di dalam Islam.
Jelasnya, ramai ulamak memberi fatwa bahawa ketiadaan menziarah ibu bapa dalam situasi berlaku wabak dan penyakit berjangkit adalah tidak dianggap derhaka.
Bahkan tambahnya, menziarahi kedua-duanya dalam suasana sedemikian adalah berdosa kerana perbuatan ini boleh memudaratkan kedua-duanya dengan menyebabkan penyakit berpindah kepada mereka.
"Dengan tidak pulang ke rumah ibu bapa, dalam suasana merebaknya penyakit, anak-anak boleh dianggap berbakti dan berbuat baik kepada orang tua kerana tidak mendedahkan kedua-duanya kepada jangkitan penyakit.
"Selanjutnya hubungan silaturrahim tidak hanya boleh dilakukan dengan amalan ziarah. Ia boleh dilakukan dengan memanfaatkan alat-alat komunikasi dan teknologi maklumat terkimi seperti telefon bimbit, Facebook, instagram dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Wan Salim berkata, sekiranya ingin memberi hadiah kepada orang tua atau adik beradik boleh dikirim melalui pos sahaja.
Beliau dalam masa sama berharap anak-anak boleh memahamkan perkara tersebut kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing berhubung alasan mereka tidak boleh pulang berhari raya di kampung dalam tempoh PKP ini bagi memastikan ibu bapa khususnya tidak berkecil hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!