Hargai jasa petugas barisan hadapan, beringat sambut Aidilfitri
KUALA LUMPUR- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah dalam keriangan menyambut Aidilfitri pada Khamis, rakyat tidak seharusnya lupa dengan beban berat yang ditanggung petugas barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik Covid-19.
Baginda bertitah sudah lebih setahun mereka bertugas tanpa mengenal rehat dan rasa letih selain berdepan risiko dalam usaha meringankan beban yang ditanggung pesakit serta menyelamatkan banyak nyawa.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin mengingatkan rakyat agar menghargai pengorbanan tersebut dan meraikan Aidilfitri dengan norma baharu, mematuhi peraturan penjarakan fizikal, meminimumkan amalan kunjung-mengunjung serta mengelakkan perhimpunan dalam jumlah yang ramai bagi memastikan tiada penularan wabak berlaku.
"Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, ramai yang kehilangan ahli keluarga, ramai yang terputus sumber pendapatan, ramai yang hilang pekerjaan dan bertambah ramai yang menganggur. Ekonomi dunia terjejas teruk setiap hari dan bertambah ramai orang yang jatuh ke lembah kemiskinan.
“Oleh itu dalam kalangan kita yang bertuah, dilindungi Ilahi daripada jangkitan penyakit dan dalam kalangan kita yang terus dilimpahi rezeki, pamerkan sifat kesyukuran dengan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara kita yang sedang dibelenggu kesusahan,” titah baginda.
Selain petugas barisan hadapan, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan kepada pihak badan keselamatan dan pertahanan negara yang terus berkhidmat bagi membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang serta meriah.
Mereka termasuk pasukan polis, tentera, bomba, penjara, imigresen, kastam, sektor pengangkutan dan perkhidmatan serta petugas media.
Di Kedah, Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah walaupun sambutan perayaan kali ini tidak sama seperti dahulu dengan larangan merentas negeri dan daerah serta tiada aktiviti kunjung-mengunjung namun ia bukan alasan untuk tidak berhubung.
Titah baginda, rakyat perlu menggunakan sebaiknya teknologi masa kini untuk berhubung antara satu sama lain terutama pada hari lebaran bagi mengeratkan lagi silaturahim.
Sultan Sallehuddin juga menyeru rakyat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan ketika menyambut Aidilfitri.
“Keingkaran untuk mematuhi SOP tersebut akan menyebabkan peningkatan kes baharu dan akibatnya, penularan wabak ini akan sukar dibendung,” titah baginda dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri yang dikeluarkan Istana Anak Bukit di sini Rabu.
Baginda turut menyarankan rakyat agar mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang akan membantu tubuh memperoleh imunisasi dan daya tahan terhadap virus wabak itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!