Bina lebih banyak rumah kos rendah bawah RM120,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa membina lebih banyak rumah kos rendah yang berharga antara RM100,000 dan RM120,000 untuk golongan miskin bandar di ibu kota.

Pengerusi Majlis Perunding Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Bandar Tun Razak, Azman Abidin berkata ramai pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih dalam senarai menunggu kerana bilangan unit rumah yang terhad.

"Ada yang terpaksa menjadi gelandangan, tumpang tidur di rumah-rumah kedai dan ada juga dalam kalangan mereka hanya berpendapatan RM600 sahaja setiap bulan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Katanya berdasarkan statistik DBKL, terdapat 27,000 pemohon PPR dan PA namun setakat 2018, hanya 6,000 pemohon yang layak menduduki kediaman itu.

"Malangnya rumah-rumah tersebut hanya mempunyai 300 unit sahaja untuk disewa dan selebihnya mereka terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu untuk mengisi kekosongan.

Azman berkata meskipun kerajaan telah berusaha membina lebih banyak rumah mampu milik seperti Residensi Wilayah di ibu kota, namun harganya masih mahal iaitu bermula dari RM250,000 ke atas.

"Harga rumah mampu milik sepatutnya terletak di median harga antara RM100,000 dan RM150,000. Jika seorang pekerja kerajaan kelulusan ijazah, itu sahaja rumah mampu milik. Sekarang kebanyakan projek perumahan mampu milik semua bermula dari RM300,000 ke atas.

Buat kecil-kecil, tidak perlu kawasan yang luas, mungkin dalam 700 hingga 900 kaki persegi agar golongan B40 boleh membelinya, tetapi sekarang banyak pemaju yang bina kondominium mewah daripada membina rumah mampu milik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azman turut mencadangkan agar pembinaan rumah mampu milik itu turut dilengkapi dengan kemudahan parkir yang mencukupi.

"Selalunya setiap unit rumah akan dibekalkan satu lot parkir, namun saya mencadangkan agar dibina juga lot-lot parkir yang diselenggarakan oleh JMB (Badan Pengurusan) dengan harga sewa bulanan yang berpatutan," katanya.

Katanya meskipun kerajaan pusat telah membina parkir bertingkat untuk penghuni-penghuni PPR dan PA, namun harga sewa parkir yang mencecah RM60 sebulan masih lagi mahal bagi golongan itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!