Nostalgia dan Hari Raya Aidilfitri

No Image Caption
A
A
A

1 SYAWAL yang kita raikan sebagai Hari Raya Aidilfitri datang dan pergi setiap tahun. Bagi tahun 2021M, kita meraikannya pada hari Khamis 13 Mei bersamaan dengan 1 Syawal 1422H.

Hari Raya Aidilfitri kali ini, sama seperti pada tahun 2020, diraikan dengan cara yang tidak mengikut tradisi. Ada yang mengatakan tidak meriah.

Hal ini kerana tidak ada kunjung mengunjung atau berziarah sesuka hati selama sebulan dari rumah ke rumah sanak saudara dan sahabat handai untuk bermaaf-maafan, sambil menikmati hidangan-hidangan istimewa yang disajikan seperti yang lazim kita lakukan sebelum pandemik Covid-19 membadai pada awal 2020.

Di negeri-negeri atau daerah yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang dikuatkuasakan pada 6 Mei 2021, Aidilfitri hanya boleh dirayakan pada hari pertama dengan SOP yang ketat. Pihak tuan rumah kena menyediakan buku catatan mereka yang datang dan menyukat suhu tetamu.

Di negeri atau daerah yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perayaan dibenarkan selama tiga hari.

Para perantau tidak boleh merentasi negeri atau malah merentas daerah untuk balik kampung.

Di kawasan PKPD umat Islam hanya dibenarkan untuk merayakannya pada hari pertama sahaja, itupun di rumah di mana kita terperap. Kunjung mengunjungi dilarang sama sekali.

Gara-gara pandemik Covid-19, kita tidak dibenarkan menziarahi tanah perkuburan di kawasan PKP.

Artikel Berkaitan:

Tetapi suasana terkongkong itu tidak menghalang untuk kita mengimbau kenangan, manis dan pahit terhadap Aidilfitri silam yang telah lama berlalu.

Malah bagi kebanyakan kita, terutama dalam kalangan yang sudah berada di senja usia seperti saya dan rakan-rakan sebaya yang lain, kalangan yang sudah tidak lagi mempunyai ibu bapa dan sudah lama meninggalkan kampung halaman, kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan juga sebahagian daripada bulan Ramadan itu sendiri adalah detik untuk kita bernostalgia.

Kita teringatkan keindahan dan kemanisan berhari raya bersama ibu bapa di desa semasa zaman kanak-kanak dan remaja walaupun pada hakikatnya ketika itu kita hidup susah dan sederhana; kita terkenang kedua orang tua kita yang sudah lama kembali bertemu Penciptanya; kita terbayang wajah suami atau isteri yang juga sudah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dan banyak lagi.

Kalau boleh kita mahu kembali ke zaman-zaman indah dan manis itu, tetapi apakan daya hukum kehidupan tidak mengizinkannya. Jarum waktu tidak boleh diputarkan ke belakang. Maka apa-apa juga suka duka, perasaan gembira, sedih, sayu dan hiba yang pernah kita alami, akan kekal dalam kenangan kita buat selama-lamanya.

Dan setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, segala kenangan silam itu akan kembali tertayang bagai filem yang tidak mungkin untuk dipadamkan begitu sahaja. Filem-filem kenangan itu akan kekal terpahat dan segar bugar dalam ingatan selagi hayat dikandung badan. Malah sebahagian besar kita seolah-olah tidak boleh keluar dari dunia romantis atau khayalan masa lalu. Kita semacam telah terpenjara dalam nostalgia silam.

Mengapa?

Neel Burton dalam bukunya Heaven and Hell: The Psychology of the Emotions, menjelaskan terdapat dua faktor yang memicu nostalgia dalam diri seseorang individu iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalaman merujuk kepada aktiviti dalam otak manusia itu sendiri yang menjadi tempat menyimpan emosi dan kenangan. Kedua-dua elemen tersebut saling berhubung kait dalam daerah otak kita yang dipanggil sebagai prefrontal cortex itu.

Tetapi kenangan itu tersimpan pasif dan hanya menjelma menjadi nostalgia dipengaruhi oleh faktor luaran.

Sebab luaran di sini merujuk kepada pelbagai elemen: antaranya apabila perasaan kesunyian menguasai diri kita, atau apabila kita berasa terasing, terbuang dan kehidupan kita tidak lagi berguna; atau apabila kita semena-mena terkenang masa silam kita sewaktu kita berada pada tempat-tempat atau tersentuh objek-objek tertentu.

Sekiranya kita terlihat gambar-gambar lama atau secara kebetulan bertemu dengan sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan yang telah sekian lama tidak kita temui, perasaan nostalgia menerpa dalam kehidupan kita.

Selain itu, muzik, lagu-lagu dan drama yang mengimbau masa lalu yang pernah kita alami juga boleh menjadi pemicu berpengaruh nostalgia.

Dalam konteks ini pengaruh lagu-lagu Hari Raya Aidilfitri yang mengimbau keseronokan menyambut lebaran di desa dan kampung halaman; atau membangkitkan kesedihan mengenang kehilangan orang-orang tersayang dalam hidup kita, tidak dapat tidak akan membuat kita berasa nostalgik mengenai kehidupan silam kita.

Mujurlah kita hidup pada hari ini kerana bernostalgia, baik pada Hari Raya Aidilfitri atau pada waktu-waktu lain tidak dianggap sebagai satu penyakit mental.

Sewaktu istilah nostalgia dicipta pada 1668 oleh seorang pelajar perubatan berbangsa Swiss, Johannes Hofer, nostalgia dianggap sebagai bentuk kemurungan serius yang boleh mengakibatkan kematian.

Kajian yang beliau lakukan dalam kalangan askar-askar berbangsa Swiss yang berperang jauh daripada Switzerland mendapati bahawa akibat terlalu rindukan kampung halaman dan keinginan untuk pulang ke tanah air tercinta, ada antara askar-askar itu mengalami kemurungan yang serius sehingga jatuh sakit dan meninggal dunia.

Justeru untuk tempoh 100 tahun sehingga 1768, fenomena nostalgia yang mengadunkan dua perkataan Greek iaitu nostos yang bermaksud terlalu merindui kampung halaman atau kepulangan dan algos iaitu kesakitan, dinilai dari sudut yang negatif dalam dunia perubatan.

Dari sudut kesihatan, nostalgia diklasifikasikan sebagai satu kondisi perubatan yang sekiranya gagal ditangani lazimnya berkesudahan dengan kematian.

Tetapi apabila fenomena nostalgia ini mula difahami oleh para doktor perubatan sebagai tidak lebih satu bentuk kerinduan terhadap masa silam, ia tidak lagi dianggap sebagai satu ketidaktentuan mental (mental disorder).

Nostalgia diterima sebagai sesuatu yang semula jadi, biasa, malah satu emosi positif dan alat untuk manusia meneroka masa dan ruang silam tanpa meninggalkan kesan-kesan yang buruk dan negatif terhadap diri kita.

Dalam perubatan moden mulai 1850an, nostalgia tidak lagi dianggap sebagai satu penyakit tetapi sebagai satu simpton atau tahap dalam proses patologikal atau satu bentuk melankolia.

Menurut Neel Burton, nostalgia mula diterima sebagai “an independent and even positive emotion that many people experience often that can vary from happiness to sorrow... nostalgia can lend us much needed context, perspective and direction, reminding and reassuring us that our life and that of others is not as banal as it may seems, but has meaningful moments and experiences... Nostalgia is also a form of self-deception that involves distortion and idealization of the past.”

Bagi beliau, nostalgia mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan manusia, antaranya memperbaiki mood, meningkatkan hubungan sosial, melestarikan rasa hormat diri yang positif, memberi pengertian terhadap kehidupan dan malah boleh menjadi alat menarik dan berkesan untuk pemujukan politik dan komersial.

Hakikat itu menjelaskan mengapa menjelang musim perayaan, termasuk setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri, pelbagai pihak khususnya syarikat-syarikat korporat memanfaatkan nostalgia untuk menghasilkan pelbagai bentuk pengiklanan dan filem pendek atau malah menggunakan lagu-lagu hari raya yang mengimbau kenangan silam untuk menjenamakan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada khalayak.

Tujuan akhirnya adalah untuk memberi gambaran bahawa mereka adalah warga korporat yang bertanggungjawab dan dekat dengan para pelanggan mereka.

Khalayak pula, disedari atau tidak, merelakan diri masing-masing dibuai atau ditenggelami dengan perasaan nostalgik yang bercampur baur antara sedih dan gembira itu.

Putaran nostalgia itulah yang menyebabkan kita terus terperangkap dalam penjara kenangan masa silam kehidupan kita pada saat-saat kedatangan Ramadan dan Syawal setiap tahun!

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!