Pemeriksaan ketat di SJR untuk memastikan rakyat patuh SOP

Acryl Sani (dua kiri) melawat anggota dan pegawai polis yang bertugas di SJR Bukit Jelutong di sini pada Khamis.
Acryl Sani (dua kiri) melawat anggota dan pegawai polis yang bertugas di SJR Bukit Jelutong di sini pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemeriksaan teliti terhadap pengguna jalan raya di semua sekatan jalan raya (SJR) adalah bagi memastikan masyarakat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya perlu membuat pemeriksaan yang lebih teliti susulan beberapa insiden orang ramai yang tidak bertanggungjawab menggunakan borang rentas negeri palsu.

"Mereka juga menggunakan pelbagai alasan untuk merentas negeri serta kita mendapati segelintir individu menyalahgunakan kebenaran rentas negeri," katanya ketika ditemui selepas beliau melawat anggota dan pegawai polis yang bertugas di SJR di Bukit Jelutong di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib.

Acryl Sani berkata, pemeriksaan rapi yang dilaksanakan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengakibatkan kesesakan jalan raya di beberapa jalan utama di Lembah Klang.

"Apabila kenderaan sampai di sekatan jalan raya, kita memeriksa mereka dengan teliti satu persatu dan ia memang tak dapat dielakkan kesesakan berlaku ketika itu dengan beratur panjang.

"Kita tidak mahu orang ramai mengambil kesempatan untuk 'menyelinap' untuk rentas negeri serta kita mahu memastikan pengguna jalan raya mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Acryl Sani berkata, beliau telah memberi arahan kepada semua kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah supaya lebih teliti dalam menyemak semua permohonan rentas negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran rentas negeri," tegasnya.

Mengenai jumlah permohonan rentas negeri yang ditolak di seluruh negara setakat 12 Mei, Acryl Sani memaklumkan PDRM telah menolak sebanyak 2,730 permohonan berkenaan yang dikemukakan atas pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Beliau berkata, kerajaan membuat SOP itu adalah kerana trend peningkatan kes Covid 19 di negara ini sejak beberapa hari lalu membimbangkan.

"SOP ini jelas terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh masyarakat antaranya larangan rentas daerah dan negeri sepanjang tempoh PKP (kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh)," katanya.

Acryl Sani berkata, ziarah rumah ke rumah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Penularan Covid 19 mungkin berlaku jika ada aktiviti ziarah rumah ke rumah. Ia merupakan satu perkara yang kita ambil perhatian.. bukan satu perkara yang dipandang ringan.

"Kita akan membuat pemeriksaan dan tindakan lanjut jika ada terima laporan dan maklumat aktiviti ziarah rumah ke rumah," katanya.

Beliau berharap orang ramai memberi kerjasama dalam usaha membendung penularan wabak Covid 19.

"Jika kita tidak bersama-sama berusaha serta berganding bahu tentu sekali sukar untuk kita memutuskan rantaian Covid 19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!