Pegawai kanan turun padang tinjau anggota bertugas di Aidilfitri

Anggota PDRM membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SR) di Jalan Cheras bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri terutama bagi aktiviti menziarahi tanpa surat kebenaran ketika tinjauan hari pertama perayaan Aidilfitri hari ini. -Foto Bernama
Anggota PDRM membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SR) di Jalan Cheras bagi memastikan orang ramai tidak merentas daerah atau negeri terutama bagi aktiviti menziarahi tanpa surat kebenaran ketika tinjauan hari pertama perayaan Aidilfitri hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah dan timbalan pengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman meluangkan masa di hari pertama Aidilfitri hari ini bagi meninjau anggota yang bertugas di sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang.

Antara yang turun padang ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed, Pengarah JSJ Narkotik Datuk Razarudin Husain, Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Khas) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Mastor Mohd Ariff dan Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJ Komersial Datuk S. Sasikala Devi.

Mereka melakukan tinjauan antaranya di Plaza Tol Jalan Duta, Lebuh Sentosa, Jalan Cheras dan Lebuhraya Persekutuan.

Mastor ketika ditemui pemberita di Jalan Cheras berkata kehadiran mereka bagi memberi sokongan moral kepada anggota yang bertugas ketika orang ramai menyambut Aidilfitri bersama keluarga demi tugas.

"Ini adalah usaha untuk memberi semangat bahawa mereka tidak berseorangan dalam melaksanakan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Mastor berkata PDRM tidak menghalang orang ramai meraikan Hari Raya bersama keluarga, namun mereka perlu mematuhi arahan supaya tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjung bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Kita tiada masalah pada ahli keluarga yang berada di rumah keluarga masing-masing kerana ada yang sudah pulang ke rumah ibu bapa dalam daerah sama sebelum PKP lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya memaklumkan aliran trafik di sekitar ibu kota terkawal setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini menunjukkan rakyat mematuhi SOP PKP dengan hanya keluar rumah sekiranya mempunyai urusan penting atau kerja,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!