Panggilan video pengubat rindu
NILAI - Meskipun sebilangan besar pelajar Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) di sini memilih untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, namun ada sebilangan kecil daripada mereka yang memilih untuk beraya di kampus.
Hanya panggilan video dapat menjadi pengubat rindu buat mereka yang berjauhan dengan keluarga.
Aiman Haziq Mohammed, 19, yang berasal dari Tawau, Sabah antara 52 pelajar yang membuat keputusan tidak pulang ke kampung kerana bimbang tidak dapat pulang semula ke kampus.
Ini kerana katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Sabah agak ketat selain capaian internet yang tidak berapa baik
"Memanglah sedih kerana ini pertama kali saya tak dapat bersama keluarga menyambut Hari Raya.
"Tapi saya tidak keseorangan dan beraya di kampus ini jadi satu pengalaman yang saya tidak akan lupakan," katanya ketika ditemui di Kolej Kediaman Nilai Court USIM pada Sinar Harian.
Pelajar jurusan Perubatan, Pergigian dan Sains itu berkata, panggilan video di pagi raya menjadi pengubat rindu selain emaknya turut mengirim biskut raya.
Menurut pelajar jurusan Sains Fizikal, Muhammad Firdaus Ahmad, 19, pula, dia membuat keputusan tidak pulang kerana kakaknya yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa(UIA), Gombak turut tidak dibenarkan pulang kerana perlu dikuarintin.
“Pada mulanya keluarga tidak bersetuju dengan keputusan saya tetapi selepas dijelaskan kerana bimbang keadaan kakak mereka setuju.
“Lagipun saya lebih dekat jika nak dibandingkan dengan ahli keluarga di Perak,” katanya.
Bagi pelajar jurusan Syariah dan Undang-Undang, Normasyitah Azhar, 19, berkata, tahun ini merupakan tahun pertama beraya tanpa keluarga.
“Saya rasa lebih berdikari bila raya jauh dari keluarga dan ambil keputusan itu kerana untuk memudahkan urusan pembelajaran.
”Di kampung capaian internet agak lemah susah untuk membuat ulang kaji jadi saya ambil keputusan untuk raya di kolej,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!