Covid-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah
KOTA BHARU - Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Kelantan tidak menggalakkan Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini ketika ini.
Pengarahnya Dr Mohd Azman Yacob berkata individu positif wabak itu sebaliknya perlu berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).
"Ini kerana pertamanya dari segi kawalan dan kedua untuk mengesan gejala terutama pesakit yang berumur. Kalau duduk di rumah mungkin mereka tidak maklumkan kepada hospital atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata mereka yang ditempatkan di PKRC di negeri ini perlu terus kekal berada di pusat berkenaan sehingga tempoh kuarantin tamat, susulan terdapat permintaan daripada pesakit Covid-19 yang ingin pulang ke rumah selepas berada tujuh hari di PKRC dan mahu menamatkan baki tiga hari kuarantin secara HIO di rumah.
Dr Mohd Azman berkata Kelantan kini memiliki 10 PKRC berikutan pembukaan dua lagi pusat berkenaan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas dan Dewan Jubli Perak, Majlis Daerah Tanah Merah.
"PKRC KKTM Pasir Mas telah dibuka pada Selasa (11 Mei) akan menempatkan 160 pesakit wanita, manakala PKRC Tanah Merah beroperasi bermula Rabu (12 Mei) akan menempatkan 200 pesakit lelaki,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan pembukaan hospital medan, Dr Mohd Azman berkata perbincangan di peringkat negeri bersama tentera telah dilakukan, namun pembukaannya akan disemak semula memandangkan PKRC ketika ini masih mampu menampung jumlah pesakit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!