PKP: 440 individu ditahan ingkar SOP
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 440 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dengan 435 dikenakan kompaun manakala lima direman.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kegagalan merekod butiran diri sebelum masuk ke premis merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan melibatkan 185 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (138), tiada penjarakan fizikal (15) dan 102 lagi atas lain-lain kesalahan.
Dalam pada itu, beliau berkata dua kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng semalam, manakala 481 sekatan jalan raya turut diadakan.
Mengenai barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.
"KPDNHEP juga telah melakukan 1,510 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP sepanjang PKP dan mendapati semua premis mematuhi SOP," katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata 514 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dengan kesemuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!