PDRM mohon proses tender kamera badan dipercepat

Datuk Seri Mazlan Lazim - Foto Bernama
Datuk Seri Mazlan Lazim - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempercepatkan proses tawaran tender perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota polis di lapangan.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya mendapat maklum balas positif daripada KDN berhubung perkara itu.

"Saya telah membawa perkara ini kepada KDN untuk mempercepatkan proses (tawaran) tender aset berkenaan dan didapati ia berada di atas landasan dan diharap dapat dilaksanakan pada hujung Mei ini atau Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang di sini, Khamis.

Beliau berkata ia kemudian akan melalui proses penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal sebelum dipilih Lembaga Perolehan Tender di KDN bagi mengeluarkan surat setuju terima kepada syarikat yang terpilih.

Sebelum ini Muhyiddin berkata bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah penjenayah atau orang tidak bertanggungjawab, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan anggota polis.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Mazlan berkata kelengkapan sekatan jalan raya seperti khemah dan peralatan klinikal bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam hingga 7 Jun mencukupi dalam menjaga kebajikan dan keselesaan anggota bertugas di lapangan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!