Mengangkat tinggi nilai kesarjanaan, integriti

A
A
A

PERJALANAN untuk menggenggam segulung ijazah amatlah memenatkan dan mengujakan kerana ganjaran yang bakal diperoleh. Apatah lagi apabila menyambung pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran. Ratusan jam dan tenaga dikorbankan untuk mencapai cita-cita tersebut.

Semakin tinggi kelayakan, semakin tinggilah kelayakan seseorang itu di samping penghormatan daripada masyarakat setempat dan keluarga. Sudah pasti mereka yang telah menghadapinya tentu akan kecewa dan marah apabila nilai kesarjanaan ini diselewengkan untuk kepentingan diri seperti penipuan kelayakan akademik.

Negara-negara maju melihat perkara ini sebagai satu kesalahan berat. Sebagai contoh, Belgium dan Belanda sebagai, gelaran doktor dilindungi oleh undang-undang dan penggunaan yang salah seperti menipu sijil kedoktoran akan didakwa. Di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) pula, penipuan sijil bagi mendapatkan visa atau pekerjaan boleh membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara.

Negara kita juga mempunyai undang-undang untuk membendung pemalsuan dokumen seperti Seksyen 468 (Pemalsuan dengan maksud untuk menipu) dan Seksyen 471 (Menggunakan Dokumen Palsu) Kanun Keseksaan membolehkan mereka yang disabit kesalahan hukuman seperti penjara maksimum 7 tahun berserta denda.

Mengimbas kembali saat apabila Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Datuk Marzuki Yahya akhirnya mengakui yang beliau bukan graduan dari Universiti Cambridge, salah sebuah universiti terkemuka di United Kingdom, pada saat itu, netizen yakni rakyat biasa menjadi begitu marah malah menyelidiki apakah itu Cambridge International University di Amerika Syarikat.

Pencarian itu sehingga terbongkarlah bahawa universiti yang dimaksudkan adalah ‘bogus’ malah ‘kampus’nya terletak di tengah-tengah tanah kosong dan berhadapan kedai Dobi.

Sejak tercetusnya polemik ini, seorang demi seorang menteri dan exco negeri pimpinan PH terpaksa mengakui akan kelayakan akademik masing-masing. YB Mohamad Sabu dan YAB Datuk Osman Sapian terpaksa mengakui yang mereka tidak habis belajar.

YB Lim Guan Eng juga sehingga terpaksa memberi amaran akan mengambil tindakan mahkamah walaupun jelas beliau bukanlah akauntan bertauliah di Chartered Public Accountant (CPA) Australia.

Artikel Berkaitan:

YB Zuraidah Kamaruddin juga akhirnya mengakui yang beliau bukan graduan dari universiti tersohor National University of Singapore (NUS). Malah YAB Ahmad Faizal Azumu juga mengakui bahawa beliau tidak menghabiskan pengajian di Edith Cowan University Australia.

Mengapakah perkara ini berlaku? Kes-kes seperti ini seumpama tiada kawalan memberikan seribu satu tanda tanya adakah selama ini pimpinan Pakatan Harapan (PH) terpaksa menipu kelayakan akademik hanya kerana terdesak mahu menjadi pemimpin?

Yang terbaharu, calon PRK N24 Semenyih dari Parti PPBM (BERSATU) juga mengakui bahawa beliau terlupa untuk mengemas kini kelayakan akademik beliau di laman media profesional LinkedIn kerana beliau masih belum bergraduat kerana terpaksa menangguhkan pengajian ijazah kedoktorannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sesungguhnya kelayakan akademik bukanlah penentu utama sama ada seseorang itu layak untuk menjadi pemimpin. Hatta, Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW adalah seorang buta huruf tetapi Baginda adalah Al-Amin.

Sifat Amanah Baginda Rasulullah meletakkan Baginda seorang pemimpin agung di seluruh dunia dan diiktiraf oleh Barat. Pokoknya adalah integriti diri dan tidak menipu rakyat. Mereka tidak memerlukan pemimpin politik yang berjela-jela sijil akademiknya. Apa yang mereka dambakan adalah kejujuran dan ketinggian integriti. Apa jua alasan yang diberikan, sebarang pemalsuan dan penipuan status kelayakan akademik adalah suatu kesalahan moral yang besar kerana ia melibatkan integriti seorang pemimpin.

Justeru, janganlah kita melihat kelayakan akademik sebagai satu-satunya modal untuk kita diterima menjadi pemimpin. Kelayakan akademik seharusnya menjadi ‘tool’ atau wadah untuk memajukan serta melengkapkan diri dengan ilmu yang membantu kita untuk berjaya dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Namun, apalah guna wadah ini sekiranya kita sendiri menyeleweng serta sanggup berdusta demi kepentingan diri.

Mungkin sudah sampai masanya kita menguatkuasakan undang-undang sebaiknya untuk membendung krisis pemalsuan dan penipuan kelayakan akademik ini. Jika kita boleh menghukum mereka yang memalsukan dokumen untuk mencuri duit, mengapa tidak bagi mereka yang memalsukan dan menipu kelayakan akademik untuk meraih kepercayaan rakyat.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!