Polis Bentong cari pemilik akaun FB 'DuaEmpat LapanSatu'
BENTONG - Polis Daerah Bentong meminta pemilik akaun Facebook atas nama 'DuaEmpat LapanSatu' tampil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan permit rentas negeri yang diluluskan selama tujuh hari dipotong menjadi sehari ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Tol Bentong baru-baru ini.
Status di Facebook berkenaan mula tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, pihaknya meminta individu terbabit menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau bertemu beliau sendiri.
Berdasarkan ruangan komen di satu status Facebook itu, individu terbabit mendakwa telah mendapat kelulusan rentas negeri dari Balai Polis Bandar Salak Tinggi selama seminggu dari 11 hingga 17 Mei depan.
"Individu tersebut mendakwa tempoh itu telah dipotong menjadi sehari ketika melalui sekatan di tol berkenaan arah ke Kuantan," kata kenyataan itu.
Tindakan itu dipersoalkan pemilik akaun Facebook tersebut kerana keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!