Pembukaan pusat kuarantin Covid-19 di Jitra belum diputuskan
ALOR SETAR - Pembukaan pusat kuarantin Covid-19 untuk menempatkan pesakit Covid-19 di Jitra seperti tular dalam laman sosial Facebook belum diputuskan buat masa ini.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sememangnya ada cadangan untuk membuka pusat kuarantin baharu di daerah berkenaan.
Bagaimanapun, Dr Mohd Hayati menjelaskan keputusan berhubung cadangan berkenaan belum diketahui dan pihaknya masih menunggu maklumat berhubung perkara tersebut.
"Ada cadangan namun saya belum tahu dan buat masa ini pembukaan pusat kuarantin di Jitra berkenaan belum dapat disahkan.
"Sebelum ini, kita mencadangkan pembukaan pusat kuarantin di Jitra berikutan ada pesakit perlu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di daerah lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, sebagai contohnya, ada kes terpaksa dihantar ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani, ada yang kena pergi ke ILKKM Kulim.
Dalam perkembangan sama, katanya, makin banyak kes pesakit yang bergejala ringan dan tidak bergejala yang menjalani rawatan di PKRC hingga menyebabkan kira-kira 90 peratus katil digunakan.
"Disebabkan itu, kita memberi cadangan awal dan kemungkinan ia ke arah berkenaan nanti," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai penggunaan katil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Dr Mohd Hayati memaklumkan bahawa penggunaan katil sememangnya berada di tahap kritikal iaitu 92 peratus setakat Isnin minggu lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!