732,310 individu terima dua dos vaksin
KUALA LUMPUR - Sejumlah 732,310 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi akaun Twitternya memaklumkan, angka itu adalah sebahagian daripada 1,182,244 individu yang telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,914,544 dos setakat semalam.
Lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 99,797 dos diikuti Kuala Lumpur (80,657), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Sabah (59,639).
Setakat semalam, 41.60 peratus atau 10,102,697 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,599,934 orang.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga, yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!