Desak tangkap dalang di sebalik demonstrasi 'Kerajaan Gagal'

Tangkap layar kes insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial pada Khamis.
Tangkap layar kes insiden merusuh di Parit Raja, Batu Pahat yang tular dalam laman sosial pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pihak berkuasa didesak menyiasat dan mendedahkan dalang di sebalik demostrasi jalanan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis 'Kerajaan Gagal' di Parit Raja, Batu Pahat pada Khamis.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, tindakan tegas perlu segera diambil ketika negara berusaha membendung penularan Covid-19 dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya Armada Bersatu Johor percaya perbuatan itu dirancang untuk menimbulkan persepsi buruk kepada kerajaan

dan menggunakan golongan muda kepentingan politik peribadi.

"Kita kesan kerana mereka menjadi 'alat provokasi' sehingga menyebabkan implikasi besar kepada golongan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan 20 individu pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam insiden merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang 'Kerajaan Gagal' di Parit Raja yang tular dalam laman sosial pada Khamis.

Kesemua individu berusia antara 16 hingga 28 tahun itu merupakan penduduk setempat.

Muhammad Shamsuddin berkata, sepatutnya anak muda yang terlibat itu menggunakan masa dan tenaga mereka membantu kerajaan menyebarkan kesedaran dan pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani krisis Covid-19.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan Parit Raja: 20 individu ditahan setakat ini

"Perkara sebegini tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak kerana boleh menjadi faktor peningkatan kes Covid-19 di negara kita. Armada Johor yakin kerajaan sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terus terjamin.

"Semestinya keputusan kerajaan baru-baru ini bukan bersifat 'zalim' tetapi pandangan pakar-pakar kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang diambil kira bagi menurunkan lekuk kebolehjangkitan Covid-19," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Armada Bersatu Johor mengajak masyarakat mengambil pengajaran negara India yang menunjukkan peningkatan penularan Covid-19 begitu drastik sehingga sukar dikawal.

"Marilah kita sama-sama membantu kerajaan menyebarkan nasihat dan kesedaran dalam membendung pandemik Covid-19 ini dengan sebaiknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!