Warga emas lemas kenderaan dipandu terjunam sungai
RANTAU PANJANG - Seorang warga emas lemas apabila kenderaan dipandunya terjunam ke dalam Sungai Golok di Jalan Lama Rantau Panjang-Pasir Mas, Kampung Lubok Gong di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.16 petang itu, lelaki berusia 60-an itu dikatakan sedang parkir kenderaan dipandunya selepas ahli keluarganya turun dari kenderaan itu.
Bagaimanapun, kenderaan tersebut tiba-tiba meluncur laju ke arah sungai dan terjunam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail ketika dihubungi memberitahu, kejadian tersebut disedari salah seorang anak mangsa yang ketika itu melihat bapanya sedang parkir kenderaan berkenaan.
"Anak mangsa nampak kereta dipandu ayahnya meluncur ke sungai dan dia memberitahu keluarga yang lain sebelum memaklumkan kepada bomba.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, kami dimaklumkan sebuah kenderaan SUV (Thai) terbabas ke dalam Sungai Golok dan seorang mangsa lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan.
"Kami kemudian dibantu anak mangsa dan penduduk mencari mangsa sementara menunggu Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, hasil usaha penduduk, pihaknya menemui kenderaan tersebut di kedalaman tiga meter di dalam air.
Beliau berkata, disebabkan tebing sungai di kawasan berkenaan agak tinggi, penduduk sepakat mengheret kenderaan berkenaan dan dibawa ke tebing sungai di sempadan Thailand.
"Kenderaan ditemui sekitar jam 5.30 petang dan mangsa sudah meninggal dunia.
"Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 5.50 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!