Tiga jari hancur angkara mercun bola 'lambat' meletup
KOTA BHARU - Keterujaan seorang kanak-kanak lelaki bermain mercun bola membawa padah apabila tiga jari tangannya hancur akibat letupan mercun berkenaan dalam kejadian di Kedai Buloh, Badang di sini Rabu lalu.
Nor Sham Shah Kiemee Ahama, 11, dikatakan keluar dari rumah pada jam 1 petang untuk bermain mercun bersama rakan-rakan sekampung.
Bagaimanapun, tindakan dia mendekati mercun tersebut memakan diri apabila mercun yang dipercayai 'lambat' meletup itu tiba-tiba meletup hampir dengan tangan kanannya.
Ibu saudaranya, Wan Rahimah Wan Noh, 31, memberitahu, ketika kejadian, anaknya, Aefan Rasha Adnan, 13, turut bersama mangsa yang bermain mercun lebih kurang 200 meter dari kediamannya.
"Saya tahu anak saya keluar main mercun dengan Sham Shah dan seorang lagi rakannya. Namun saya terkejut apabila anak saya pulang dan beritahu jari tangan Sham Shah putus sebab letupan mercun.
"Tidak lama selepas itu salah seorang rakan mereka juga datang ke rumah saya membawa satu daripada jari tangan mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.
"Saya dan anak bergegas ke tempat mereka bermain dan menjumpai kesemua jari tangan tersebut yang hampir hancur," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kedai Buloh, Badang di sini.
Menurutnya, anak saudaranya itu tidak menangis sebaliknya hanya mengucapkan 'Subhanallah, Subhanallah' berulang kali sehingga sampai ke rumah dengan bantuan rakan-rakannya.
Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, ibu mangsa, Wan Munirah Wan Noh, 40 tahun ketika dihubungi memberitahu, dia reda dengan keadaan menimpa anak bongsunya itu dan bersyukur dia selamat walaupun hilang tiga jari iaitu jari manis, telunjuk dan hantu.
"Mujur dia selamat, syukur Alhamdulilah. Keadaan dia juga semakin baik dan reda dengan kehilangan tangan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!