Israel lakukan kekejaman sama seperti Nazi: Dr Mahathir
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Israel kini melakukan kekejaman sama seperti dilakukan Nazi terhadap rakyat Palestin dahulu.
Beliau yang tampil bersiaran langsung di sebuah stesen televisyen tempatan itu turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang disifatkan sebagai 'tindakan pengecut'.
"Kami menyangka bahawa setelah menderita di bawah rejim Nazi, ketika berjuta-juta daripada mereka ditempatkan di kem konsentrasi, orang-orang Yahudi akan merasa simpati kepada mereka yang menderita.
"Sebagai gantinya, orang Israel sekarang menimbulkan rasa ngeri yang sama kepada orang-orang Palestin dalam usaha mereka merebut tanah Palestin," katanya menerusi siaran langsung disiarkan Astro Awani pada Jumaat.
Sebagai seorang tokoh pemimpin yang terkenal lantang menyokong Palestin, Dr Mahathir berkata, perlu ada penyelesaian diplomatik untuk menyelesaikan masalah itu kerana tidak ada yang dapat diperoleh daripada keganasan.
Beliau juga meminta semua negara Islam dan negara-negara lain yang mempercayai hak asasi manusia untuk mendukung kepentingan rakyat Palestin seterusnya "duduk dan memikirkan strategi yang tepat" untuk mencapai kemenangan.
"Dengan mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin, saya percaya kita akan mencari jalan keluar untuk konflik Arab-Israel ini. Tidak berbaloi hanya memikirkan balas dendam atau berperang," katanya.
Dr Mahathir menyifatkan juga mengutuk polis Israel kerana menyerang warga Palestin di Masjid Al-Aqsa di Jerusalem ketika mereka sedang solat dan berada di tempat paling terdedah.
"Saya harap dunia Muslim akan terjaga dengan keadaan sekarang, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!