Insiden Parit Raja beri signal pada kerajaan
JOHOR BAHRU - Insiden di Parit Raja, Batu Pahat memberi signal yang jelas bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuka Parlimen segera dan tidak berselindung di sebalik darurat.
Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, di samping dakwaan darurat melawan Covid-19 yang dilihat tidak berkesan, kerajaan juga gagal mendengar keluhan rakyat di bawah.
Sedangkan, katanya, suara rakyat boleh diangkat menerusi wakil-wakil di Parlimen.
"Apabila kerajaan gagal melaksanakan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan Parlimen boleh bersidang pada fasa darurat ini, banyak suara-suara rakyat marhaen tidak dapat diangkat kepada kerajaan menerusi saluran Dewan Rakyat.
"Lebih ramai rakyat akan menggunakan saluran-saluran alternatif untuk menyampaikan hasrat dan luahan hati mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Menerusi kenyataan sama, Naib Pengerusi DAP Johor itu turut menampilkan sebuah puisi karya Wiji Thukul.
Sementara itu, beliau berkata, sekiranya kerajaan terus 'bodoh sombong' dengan menyekat saluran demokrasi di sidang Parlimen, rakyat marhaen akan memilih ruang demokratik yang lain untuk ekspresi dan meluahkan ketidak puasan hati.
"Lihatlah sahaja (insiden) di Parit Raja. Bila hal ini terjadi, kerajaan tidak patut menyalahkan orang. 'You deserve it'," ujar beliau.
Tambah beliau, dalam keadaan ekonomi rakyat sedang sakit, dasar-dasar kerajaan tidak konsisten, amalan 'double standard' dalam banyak hal melibatkan pengurusan Covid-19, campur tangan dalam urusan pelantikan polis serta pelbagai isu lain, Parlimen perlu bersidang segera.
ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan Parit Raja: 20 individu ditahan setakat ini
ARTIKEL BERKAITAN: Desak tangkap dalang di sebalik demonstrasi 'Kerajaan Gagal'
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan rusuhan di Parit Raja dibiayai masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!