Umat Islam wajib selamatkan Palestin: Presiden Pas
SHAH ALAM - ALLAH SWT menjanjikan pahala berganda kepada mereka yang berjihad mempertahankan tanah suci Baitulmaqdis dan Palestin kerana tempat itu menjadi lokasi berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, jelas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, 'Jihad Fi Sabilillah’ paling besar ialah mempertahankan Islam, umat dan tanah airnya.
Beliau berkata, ALLAH SWT menjanjikan agama Islam akan tetap dipelihara dan mereka yang berusaha menegakkannya diberikan kemuliaan di dunia dan akhirat.
"Situasi kini ialah keganasan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin khususnya penduduk di Baitulmaqdis dan Gaza, sehingga merebak ke seluruh Palestin.
"Ketegangan bukan sahaja melibatkan pihak tentera tetapi pendatang Yahudi yang bertindak ganas dengan menceroboh dan merampas kediaman rakyat Palestin termasuk kedai dan kebun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, rakyat Palestin tidak menyerah kalah malah mereka bangkit melawan pencerobohan itu tanpa senjata.
"Mereka memerlukan bantuan daripada seluruh umat Islam seluruh dunia bukan sahaja negara Arab berdekatan," katanya.
Abdul Hadi berkata, ramai rakyat Palestin ditahan di dalam penjara tanpa membezakan antara lelaki dengan wanita, tua dan muda termasuk kanak-kanak," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, Israel menggunakan segala senjata termasuk mendapatkan sokongan politik, ekonomi, media dan lain-lain dari negara Barat khususnya kuasa Amerika dan Eropah.
Menurutnya, walaupun rakyat Palestin gagal dilemahkan oleh negara Arab dan Islam yang telah mengecewakan mereka apabila melaksanakan normalisasi dengan Israel mengikut pengaruh negara Barat,namun semangat mereka tidak luntur dengan terus berjuang.
"Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada yang bertali arus tidak henti-henti. Mereka itulah golongan yang sedang menunggu giliran untuk syahid laksana alunan ombak lautan yang tidak pernah terhenti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!