Warga asing tidak dibenarkan ‘sign off’ di pelabuhan
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan bahawa anak kapal dalam kalangan warga asing tidak dibenarkan ‘sign off’ atau turun dari kapal di pelabuhan seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarat itu dikenakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Pengecualian diberikan kepada rakyat Malaysia, tetapi mereka diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditentukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau sebelum itu mempengerusikan persidangan televideo bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan di bawah MOT.
Ia bagi menyampaikan strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mencegah wabak varian dari India masuk ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 28 April 2021.
Pada 15 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu Covid-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian lebih tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media baru-baru ini berkata, KKM sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.
Sementara itu Ka Siong berkata, KKM dan MKN menetapkan beberapa SOP di pelabuhan seluruh negara bagi mencegah risiko penularan Covid-19.
“Kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu menjalani kuarantin selama 14 hari setelah KKM menyemak dokumentasi atau pemeriksaan 'Maritime Declaration of Health'.
“Mana-mana kapal termasuk dari India tidak perlu kuarantin di laut selagi mendapat kebenaran KKM untuk berlabuh,” kata beliau.
Jelas beliau, semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.
“Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga dilarang memasuki kapal-kapal yang berlabuh di Malaysia tanpa kelulusan KKM,” ujarnya.
Tambah beliau, semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan seperti pekerja 'lashing' dan 'stevedore' tanpa sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.
“Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi atau merapat ke dermaga perlu mematuhi SOP termasuk memakai PPE dan pelitup muka.
“Pengendalian kargo untuk semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia dibenarkan berpandukan SOP ditetapkan KKM dan mendapat kebenaran JLM termasuk pihak berkuasa di pelabuhan-pelabuhan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, JLM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa pelabuhan berkaitan berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, interaksi 'ship-shore' dan larangan beroperasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!