11 sekeluarga positif Covid-19

Syahrul Nizam (tiga dari kanan), Chang Hook (dua dari kanan) ketika menyantuni petugas barisan hadapan.
Syahrul Nizam (tiga dari kanan), Chang Hook (dua dari kanan) ketika menyantuni petugas barisan hadapan.
A
A
A

JEMPOL - Sebuah keluarga antara 13 individu disahkan positif Covid-19 di daerah ini pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, 11 sekeluarga dari Felda Lui Selatan itu disahkan positif Covid-19.

"Kes tersebut bagaimanapun hanya melibatkan sebuah rumah dan tidak melibatkan kediaman lain. Setakat ini mereka masih dikuarantin di rumah.

"Berdasarkan maklumat awal, punca jangkitan dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga berkenaan yang bekerja di Seremban, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan daerah (PKD) Jempol," katanya padasidang akhbar selepas selesai menyantuni petugas barisan hadapan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua lagi individu masing-masing adalah kes di Palong dan Bahau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tiada varian Covid-19 dari Afrika Selatan, Brazil dan India dikesan di daerah ini setakat ini.

"Orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan masih terkawal selain trend jangkitan setakat ini dilihat berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan bukannya jangkitan awam.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya membataskan pergerakan memandangkan sesiapa sahaja terdedah dengan risiko selain terus patuh prosedur operasi standard (SOP) jika berada di luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebanyak 43 kes aktif di daerah ini direkodkan sejak 14 hari lalu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 260.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!