Cubaan rentas negeri beraya rumah rakan gagal, dua individu dikompaun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua individu termasuk seorang pelajar kolej vokasional masing-masing dikompaun RM5,000 kerana merentas negeri dari Pulau Pinang ke Kedah dipercayai untuk beraya di rumah kenalan mereka.

Kedua-dua mereka ditahan ketika dalam sekatan jalan raya (SJR) Tol Sungai Petani Selatan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, salah seorang daripadanya merupakan operator kilang berusia 22 tahun manakala rakan perempuannya merupakan pelajar berusia 20 tahun.

"Anggota polis menahan sebuah kereta kancil kira-kira jam 11 pagi yang dipandu seorang lelaki beralamat di Kepala Batas, Pulau Pinang yang membawa penumpang wanita beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Ketika diperiksa, mereka memberi alasan mahu mengambil barang di rumah kenalan, namun gagal menunjukkan permit rentas negeri dari Bertam, Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, kedua-dua mereka memberi alasan hendak mengambil barangan bagaimanapun polis percaya mereka sebenarnya datang untuk berhari raya.

Adzli berkata, pihaknya kemudian mengeluarkan kompaun di bawah Perkara 4 (1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!