86 pelatih keracunan makanan

Lay Ming
Lay Ming
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seramai 86 pelatih Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Padang Rengas disahkan mengalami keracunan makanan selepas menghidap gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam, kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya menerima laporan terdapat kejadian keracunan makanan melibatkan pelatih sebuah kolej berasrama dan segera menjalankan siasatan.

"Siasatan segera telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar sebaik sahaja menerima notifikasi daripada Hospital Kuala Kangsar pada hari kejadian.

"Kejadian ini melibatkan seramai 86 daripada 562 pelatih berusia 16 hingga 19 tahun yang terdedah dan mereka mengalami gejala seperti sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Lay Ming, enam pelatih dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan stabil manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

"Punca keracunan makanan ini masih dalam siasatan dan sampel-sampel telah diambil untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Ipoh.

"Kejadian keracunan makanan di kolej ini adalah terkawal namun sebagai langkah berjaga-jaga, dapur asrama kolej tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dengan arahan untuk pembersihan," katanya.

Tambahnya, pemantauan terhadap status kesihatan pelatih-pelatih kolej berkenaan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!