KM Sarawak akan menghadap Agong berhubung pembubaran DUN
SHAH ALAM – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun tarikhnya akan ditentukan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong kerana negara di bawah darurat sehingga 1 Ogos ini.
Di bawah Perlembagaan Sarawak, katanya, tempoh tamat DUN ialah pada 6 Jun ini, lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama pada 7 Jun 2016.
“Dalam norma biasa, sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya.
“Tetapi negara di bawah darurat kesihatan sehingga 1 Ogos,” katanya lapor The Star.
Nanta berkata, peruntukan perlembagaan negeri berkenaan tidak terpakai disebabkan Ordinan Darurat 2021.
“Pembubaran DUN akan diputuskan Yang di-Pertuan Agong dari tarikh yang difikirkan sesuai selepas mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertua Negeri,” katanya.
Nanta berkata, mengadakan pilihan raya adalah bukan pilihan kerajaan negeri pada masa ini kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi.
“Kerajaan menganggap Covid-19 sebagai ancaman serius dan kehidupan rakyat adalah sangat penting.
“Mengadakan pilihan raya semasa Covid-19 adalah berisiko dan kita tidak mahu dilihat membahayakan nyawa rakyat,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!