Israel bedil bangunan biro media asing

Rejim Zionis membedil Menara Jala di bandar Gaza pada Sabtu. - Foto: AFP
Rejim Zionis membedil Menara Jala di bandar Gaza pada Sabtu. - Foto: AFP
A
A
A

GENTING GAZA - Serangan udara dilancarkan rejim Zionis memusnahkan bangunan setinggi 13 tingkat yang menempatkan pejabat media asing termasuk stesen TV, Al Jazeera berpusat di Qatar dan agensi berita The Associated Press di Genting Gaza pada Sabtu.

Al-Jazeera menerusi Twitter mengesahkan kempen serangan ganas itu menyasarkan Menara Jala selepas bangunan setinggi tiga tingkat dibedil dan menyebabkan sebuah keluarga termasuk lapan kanak-kanak dan dua wanita terkorban.

Sementara itu, pemilik premis itu, Jawad Mehdi berkata, pegawai risikan Israel telah memberi amaran kira-kira sejam sebelum serangan itu dilancarkan untuk memastikan bangunan tersebut dikosongkan lebih awal.

Menerusi panggilan telefon, AFP mendakwa Mehdi terpaksa merayu untuk meminta tempoh tambahan selama 10 minit bagi membolehkan para wartawan membawa keluar kesemua peralatan mereka.

"Ia sangat menyedihkan kerana Al Jazeera dan biro media lain turut menjadi sasaran bedilan rejim Zionis," ujar Ketua Biro agensi berita itu, Wael al-Dahdouh.

Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan jet pejuang mereka menyasarkan bangunan tersebut kononnya kerana ia menempatkan aset ketenteraan milik unit risikan gerakan Hamas.

Sehingga kini, angka korban serangan ganas Israel di bawah Operasi Penjaga Tembok telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 139 orang termasuk 39 kanak-kanak manakala kira-kira 950 yang lain cedera. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!