732,322 individu terima dua dos vaksin

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sejumlah 732,322 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam (Jumaat), menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, angka itu adalah sebahagian daripada 1,182,265 individu yang menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,914,587 dos setakat semalam (Jumaat).

Lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 99,797 dos diikuti Kuala Lumpur (80,662), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Sabah (59,639), katanya menerusi akaun Twitter.

Sehingga semalam (Jumaat), 41.70 peratus atau 10,122,529 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,606,455 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama

TAG: JKJAV, dos vaksin, COVID-19, pendaftaran

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!