Harap suspek disiasat secara adil: Mujahid
SHAH ALAM - Kejayaan polis menahan seorang lelaki warga emas yang dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aishah melalui karikatur melampau di Mentakab, Pahang hari ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Mujahid dalam kenyataan medianya berharap supaya pihak polis menjalankan siasatan secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.
"Diharapkan, suspek turut didakwa mengikut akta sedia ada agar perkara seumpama ini tidak berulang dan menjadi pengajaran untuk semua pihak.
ARTIKEL BERKAITAN: Individu hina Nabi ditahan
"Masyarakat wajar menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang tertakluk dalam perlembagaan Malaysia dan begitu juga sebaliknya," jelasnya.
Dalam pada itu, Mujahid turut menasihatkan rakyat tidak menggunakan kebebasan media yang dilaksanakan Malaysia Baharu dengan sewenang-wenangnya.
Baru-baru ini, tular menerusi laman sosial Facebook seorang lelaki berbangsa Cina yang memuat naik gambar karikatur menghina Rasulullah SAW.
Dalam karikatur terbabit mempamerkan seorang lelaki tua bersama seorang kanak-kanak perempuan yang menggambarkan Rasulullah SAW bersama isterinya, Siti Aisyah.
Beberapa individu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bertindak membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap si pelaku terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!