Peneroka haram Yahudi jadi punca

No Image Caption
A
A
A

BAITULMAQDIS Timur atau East Jerusalem sekali lagi mendapat tumpuan masyarakat antarabangsa apabila ketegangan berlaku akibat pertembungan antara petunjuk perasaan Palestin dengan polis rejim Israel. Penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur kembali bangkit menentang rejim Israel kerana tempat kediaman mereka dirampas peneroka Yahudi.

Rejim Israel mempunyai dasar menggalakkan penduduk Yahudi dari seluruh dunia untuk masuk dan bermastautin di Israel, kononnya tanah tersebut dianugerah dan dijanji milik mereka atau ‘promised land’, padahal tanah yang mereka duduki sebenarnya milik penduduk Palestin yang sudah menduduki berabad lamanya.

Antara kes rampasan tanah Palestin berlaku di Sheikh Jarrah yang terletak di Baitulmaqdis Timur. Mulai 2002, peneroka Yahudi mula mengambil alih kediaman dan menghalau keluar keluarga Palestin. Penduduk Palestin tidak berpuas hati dan membawa isu rampasan tanah ke Mahkamah Tinggi Israel, namun mahkamah tidak menyebelahi mereka. Keadaan menjadi lebih tegang apabila kumpulan pelampau Yahudi mengadakan perarakan ‘Jerusalem Day’ bagi memperingati kejayaan rejim Israel menduduki Baitulmaqdis Timur pada 1967.

Isu utama bukan soal penempatan tetapi untuk mengurangkan demografi penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur agar lama-kelamaan penduduk Palestin akan bertukar menjadi minoriti, sebaliknya bilangan penduduk Yahudi bertambah menjadi majoriti.

Tidak keterlaluan untuk menyamakan dasar diamalkan rejim Israel dengan dasar pembersihan etnik dan apartheid terhadap penduduk Palestin. Matlamat utama adalah menghalau keluar penduduk Palestin dan mendirikan sebuah negara Yahudi.

Pada 1948, ketika pemimpin Zionis secara unilateral mengisytiharkan kemerdekaan yang telah mencetuskan Perang Arab-Israel Pertama, sebanyak 400 perkampungan Palestin telah musnah. Apabila tentera rejim Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada 1967, seramai lima juta penduduk Palestin telah menjadi pelarian di negara sendiri.

Pendudukan Israel di Baitulmaqdis Timur jelas bertentangan dengan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa, malah majoriti masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf pendudukan Israel dan menganggap ia sebagai pendudukan haram.

Provokasi demi provokasi dibuat rejim Israel terhadap penduduk Palestin supaya mereka bertindak balas dengan membaling batu dan seterus rejim Israel boleh membalas dengan kekerasan menembak menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Artikel Berkaitan:

Kejadian provokasi terbaharu berlaku di Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis iaitu masjid yang ketiga penting dalam agama Islam. Kumpulan Hamas telah meminta rejim Israel mengundurkan tenteranya dari Masjid al-Aqsa, namun rejim Israel enggan berbuat demikian, maka Hamas bertindak melancarkan serangan roket terhadap tempat-tempat berkepentingan bagi rejim Israel.

Sebaliknya, rejim Israel telah bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke atas Gaza. Tindakan rejim Israel dikritik masyarakat antarabangsa. Negara seperti China, Tunisia dan Norway menggesa agar diadakan persidangan tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan keadaan di Baitulmaqdis Timur. Namun, cadangan itu ditolak Amerika Syarikat (AS).

Pentadbiran Presiden Joe Biden kelihatan tidak tegas dengan rejim Israel. Biden memilih isu-isu tertentu seperti layanan terhadap masyarakat Uyghur di Xinjiang dan protes di Hong Kong demi kepentingan politik AS. China dikritik dengan lantang oleh AS kerana isu Xinjiang dan Hong Kong, manakala nasib penduduk Palestin, komen AS lebih bersifat teguran. Ia jelas menunjukan sikap double standard pentadbiran Biden.

AS perlu sedar selagi isu penindasan penduduk Palestin tidak diselesai dengan adil dan saksama, kemarahan dan rasa tidak puas hati akan wujud dalam dunia Islam.

Yang dibimbangi adalah kemarahan dan kekecewaan dijadikan alasan bagi sesetengah kumpulan pelampau seperti Daesh untuk melancarkan serangan keganasan. Oleh itu, kunci kepada penyelesaian masalah keganasan adalah kedamaian dan keadilan dapat dicapai di Palestin.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!