Tanpa kita sedar amalan tok nenek kita dulu kini jadi SOP

No Image Caption
A
A
A

BELALANG duduk termenung dengan kawan-kawan sambil berbual tentang hal Covid-19 dan bagaimana ia telah mengubah cara hidup kita.

Kawan Belalang kata, siapa yang belum kena virus ni tidak akan faham apa yang orang telah dijangkiti lalui.

“Kau tahu, satu badan rasa tidak selesa, tidak tahu macam mana hendak huraikan,” kata kawan Belalang.

Seorang lagi memberitahu: “Seluruh sendi kau rasa sakit sama macam kau kena denggi.”

“Kau hanya sekadar baring dan baring dan baring... mana ada ubat. Hanya mengharapkan antibodi badan kau melawan virus ni,” kata seorang kawan lagi.

Seorang lagi berkata, itu yang dah sah positif. Yang kontak rapat yang harus kuarantin 10 hingga 15 hari tu sebenarnya sama juga macam mereka kena Covid.

Orang yang kena kuarantin ni sepatutnya bukan sekadar tidak boleh keluar rumah tapi kalau nak diikutkan tak boleh keluar bilik langsung.

Nak apa, semua isi dalam rumah kena buat untuk dia. Misalnya, siapkan makan dan letak depan pintu bilik.

Artikel Berkaitan:

Kalau orang yang kena kuarantin keluar masuk bilik, itu bukan kuarantin namanya.

Tiba-tiba di tengah-tengah perbualan itu, seorang lagi kawan Belalang menyampuk. “Eh! Kau orang fikir kenapa orang zaman dahulu bina tandas dan bilik mandi di luar rumah, bukan di dalam rumah?

“Juga kenapa masa kita kecil, mak selalu pesan bila balik daripada bermain atau lepas gunting rambut, kita dilarang sentuh barang atau sesiapa dalam rumah melainkan selepas kita mandi.

“Kenapa kita diajar letak kasut di luar pintu dan bukan di dalam rumah?

“Kenapa juga kita diajar membasuh tangan dan kaki setiap kali kita pulang ke rumah?

“Kenapa orang tua-tua pantang kita masuk ke dapur atau masak jika belum mandi?

Tambah kawan Belalang, bila budaya Barat masuk dan jadi sebahagian daripada hidup kita, semua amalan orang zaman dahulu kita tinggalkan.

Malah, kita melihat ia sebagai satu amalan yang ortodoks dan ketinggalan zaman.

Tapi katanya, tidakkah selepas kita dilanda wabak Covid ini, sebahagian besar daripada amalan dulu-dulu tiba-tiba menjadi SOP kita?

Tidakkah orang dulu-dulu telah terlebih dahulu memikirkan tentang wabak dan cara menghindarinya tapi kita abaikan kerana ia tidak kelihatan moden dan canggih?

Entahlah! Mungkin telah tiba masanya untuk melihat kembali sejarah amalan orang tua-tua yang selama ini kita anggap lapuk itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!