Ketua Pengarah KPT disiasat hadir majlis hari raya
SERDANG - Polis menyiasat dakwaan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Husaini Omar melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menyertai majlis hari raya pada hari raya pertama bersama pemimpin dan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superitenden Mohd Rosdi Daud berkata, satu laporan polis telah dibuat ekoran daripada satu artikel sebuah portal berkaitan dakwaan itu pada Sabtu.
"Program tersebut telah diadakan di Kolej Kediaman ke 13 UPM pada Khamis yang melibatkan kehadiran mahasiswa dan pihak pengurusan UPM.
"Program tersebut dianjurkan sempena penyampaian sumbangan hari raya kepada mahasiswa dan juga jamuan hari raya," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Mohd Rosdi berkata, berdasarkan gambar yang dimuat naik kelihatan kehadiran tetamu dan juga mahasiswa ke program tersebut.
"Siasatan kini dijalankan dibawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021. (Melanggar SOP PKP) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas pengunjung dan RM10,000 ke atas penganjur," katanya.
Mohd Rosdi memaklumkan kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dalam kadar segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!