ADUN Cukai dikompaun RM2,000 ziarah, hantar sumbangan raya

Hanafiah (kanan) dikompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar SOP dengan melakukan ziarah ke rumah anak yatim pada hari raya pertama.
Hanafiah (kanan) dikompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar SOP dengan melakukan ziarah ke rumah anak yatim pada hari raya pertama.
A
A
A

KEMAMAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat dikompaun RM2,000 malam tadi atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah dengan menghantar sumbangan pada 1 Syawal.

Hanafiah menerusi laman Facebooknya pada Sabtu berkata, walaupun dikenakan kompaun kerana melanggar SOP, beliau reda kerana telah menunaikan permintaan rakyat.

"Saya reda kerana sekurang-kurangnya saya boleh menjawab kepada ALLAH SWT di akhirat mengenai amanah yang diletakkan ke atas bahu saya sebagai wakil rakyat.

"Saya sudah tunaikan permintaan mereka. Demi rakyat, saya rela berkorban, dikompaun," katanya.

Mengulas mengenai kompaun tersebut, katanya, beliau telah menerima panggilan daripada seorang ibu tunggal yang menyatakan hasrat bahawa anaknya ingin makan sate pada pagi Syawal.

"Simpati dengan permintaan si anak saya mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke kediaman tersebut untuk menghantar sate bersama kuih dan duit raya.

"Untuk pengetahuan, dalam masa yanh sama ada sekitar empat hingga enam rumah yang saya kunjungi untuk tujuan sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, ketika dihubungi berkata, Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia susulan gambar tular di media sosial Khamis lalu memaparkan wakil rakyat terbabit telah melawat anak yatim dan memberi duit raya.

"ADUN Cukai tersebut telah hadir ke IPD Kemaman jam 9 malam untuk memberikan keterangan berhubung gambar tular beliau di media sosial.

"Susulan itu, beliau dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar SOP PKP dengan melakukan ziarah pada pagi Aidilfitri," katanya.

Terdahulu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim turut dikenakan kompaun RM2,000 kerana menerima kunjungan ziarah tetamu yang merupakan jirannya pada pagi 1 Syawal.

Beliau bersama jirannya, Zakaria Mahmud masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!