11 dikompaun rentas daerah tanpa kebenaran

Video menunjukkan pengguna jalan raya yang melakukan rentas daerah dari Baling ke Kuala Muda melalui Kampung Kuala Lesong tanpa kebenaran dikompaun, tular di media sosial. (Gambar kecil: Shamsudin Mamat)
Video menunjukkan pengguna jalan raya yang melakukan rentas daerah dari Baling ke Kuala Muda melalui Kampung Kuala Lesong tanpa kebenaran dikompaun, tular di media sosial. (Gambar kecil: Shamsudin Mamat)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 11 individu termasuk seorang wanita dikompaun RM5,000 kerana didapati merentas daerah tanpa kebenaran dari Baling ke Kuala Muda, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kesemua individu berusia antara 19 hingga 40 tahun didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen rentas daerah dari pihak berkuasa semasa pemeriksaan Ops Khas Rentas diadakan.

Menurutnya, kesemua mereka dikesan melakukan pergerakan antara jam 5 hingga 7.20 petang ketika pemantauan sekatan jalan raya bergerak dilaksanakan di kawasan Kampung Kuala Lesong Kuala Ketil yang bersempadan dengan daerah Baling dan Kuala Muda, Kedah.

"Semasa pemantauan dibuat dapati 10 lelaki dan seorang perempuan tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana telah rentas daerah tanpa kebenaran pihak berkuasa,"katanya.

Kesemua individu itu telah diterangkan kesalahan dilakukan dan dikeluarkan kompaun mengikut Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) 2021.

Katanya, kompaun sebanyak RM5,000 dikenakan dan jika dibayar dalam masa tujuh hari akan mendapat potongan sebanyak 50 peratus dan diberi masa selama tempoh 14 hari untuk dijelaskan di Pusat Kesihatan Daerah.

"Polis menasihati orang ramai agar mematuhi segala arahan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKP ini bagi memerangi penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

"Tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran mana-mana SOP yang telah ditetapkan di bawah Peraturan ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!