Pengerusi surau meninggal dunia semasa solat Subuh berjemaah

Jenazah Mohd Isa dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.
Jenazah Mohd Isa dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Surau Taman Kobena Senawang, Mohd Isa Yaacob, 69, disahkan meninggal dunia ketika menunaikan solat Subuh di surau Taman Kobena, Senawang awal pagi Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.05 pagi, ketika menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Menurut salah seorang jemaah, Abdul Razak Abdul Rahman, 63, arwah tiba-tiba rebah ke kiri, ketika imam sedang membaca surah Al Fatihah di rakaat kedua sebelum disambut oleh jemaah yang berada di sebelahnya.

“Kami baringkan dia dan turut memberi pertolongan cemas ke atas arwah sambil mengajar mengucap kalimah syahadah,” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Siti Esah Abdullah, 65, memberitahu, arwah mempunyai masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung serta dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban beberapa hari sebelum Ramadan lalu.

"Arwah sebelum ini pernah memberitahu kepada saya dan anak-anak, ini mungkin Ramadan terakhirnya, seolah-olah dia dapat merasakan masanya hampir tiba.

"Arwah sangat mengambil berat akan solat secara berjemaah sama ada di surau dan masjid, dia juga suka mengaji al-Quran pada masa lapangnya, selain aktif dalam kerja-kerja kebajikan di taman," katanya.

Allahyarham yang merupakan seorang pesara tentera meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

Jenazah disolatkan di Surau Taman Kobena, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!