Nenek, dua cucu nekad terjun laut elak terperangkap kebakaran

Mohd Zarul meninjau keadaan rumahnya yang musnah akibat kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan. (Gambar kecil: Laydia Bantunan)
Mohd Zarul meninjau keadaan rumahnya yang musnah akibat kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan. (Gambar kecil: Laydia Bantunan)
A
A
A

PUTATAN - Seorang nenek bersama dua cucunya nekad terjun ke dalam laut demi menyelamatkan diri apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Meruntum di sini petang Sabtu.

Mangsa kebakaran, Mohd Zarul Zamani, 27, berkata, ketika kejadian dia berada di Pekan Putatan untuk membeli makanan manakala ibu dan dua anak saudaranya berusia dua tahun berada di rumah.

"Tidak sampai lima minit saya keluar, tiba-tiba terima panggilan rumah kami terbakar dan saya bergegas pulang sebelum mendapati api sedang marak selain asap tebal.

"Tanpa berfikir panjang saya terjun ke laut dan segera menuju ke arah rumah dengan menggunakan perahu.

"Ibu saya juga terjun ke laut bersama dua cucunya melalui pintu belakang dan saya menyambut mereka menggunakan perahu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada pagi Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 rumah atas air musnah terbakar

Menurut Mohd Zarul, dia hanya sempat menyelamatkan ahli keluarga bersama dokumen penting sahaja manakala barang-barang rumah semuanya musnah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Laydia Bantunan, 60, berkata, kebakaran itu menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM20,000 termasuk wang tunai dan barangan jualan tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan suami cuma sempat selamatkan diri bersama dua cucu saja.

"Sekarang kami tinggal sehelai sepinggang sebab semua pakaian, wang tunai, emas, barangan elektrik dan barangan jualan terbakar," katanya yang juga seorang peniaga di kampung berkenaan.

Katanya lagi, dia tidak sedar berlaku kebakaran itu, namun cucunya yang berusia 11 tahun memberitahu ternampak asap tebal tidak jauh dari rumah mereka.

"Saya juga terhidu bau asap dan meminta suami periksa jika ada barangan elektrik terbakar tetapi semuanya dalam keadaan baik," katanya yang menetap di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya yang hadir meninjau kawasan kebakaran berkata, kejadian itu melibatkan sebanyak 35 buah rumah.

Shahelmey (kanan) dan Arifin (kiri) hadir meninjau lokasi kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan pada Ahad.
Shahelmey (kanan) dan Arifin (kiri) hadir meninjau lokasi kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan pada Ahad.

"Sebanyak 45 keluarga terjejas dan jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 221 penghuni. Proses pendaftaran masih sedang dijalankan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Serigai.

"Penduduk yang terjejas yang belum mendaftar diminta berbuat demikian di PPS itu bagi mengemaskini data," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, semua mangsa ditempatkan selama tiga hari di PPS terbabit namun pihaknya bersedia untuk melanjutkan sehingga tujuh hari sementara penduduk yang terjejas dapat mencari tempat tinggal lain selepas itu.

Hadir sama dalam tinjauan itu Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif yang turut memaklumkan bahawa Pusat Zakat Sabah dan Baitulmal akan menyalurkan bantuan serta sumbangan kepada mangsa yang terjejas bermula Isnin.

Dalam kebakaran kira-kira 5.30 petang Sabtu, puluhan rumah di atas air musnah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah turut mengesahkan tiga anggotanya cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika dalam operasi memadamkan kebakaran di kawasan itu.

Bagaimanapun, semua anggota terbabit kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!